Google Dituduh Membenarkan Pihak Ketiga Membaca Kandungan Gmail Pengguna

Wall Street Journal hari ini mendedahkan tentang kegiatan Google melalui Gmail yang memberikan akses kepada pihak ketiga bagi mengetahui isi kandungan yang terdapat di dalam e-mel pengguna.

Pihak ketiga ini kemudian akan cuba menawarkan produk atau servis yang menarik, relevan dengan isi kandungan e-mel yang sudah dibaca tadi.

Kegiatan sudah dihentikan oleh Google sendiri sejak setahun yang lepas namun tidak tertakluk untuk pihak ketiga yang bekerjasama dengan Google. Sesetengah syarikat juga menggunakan tenaga manusia bagi menyemak sendiri isi kandungan e-mel manakala selebihnya hanya menggunakan komputer bagi menyaring e-mel yang berkaitan kata kunci yang ditetapkan.

Kegiatan mengakses maklumat di dalam e-mel pengguna ini merupakan amalan biasa bagi penyedia perkhidmatan e-mel di luar sana dengan penggguna diberi pilihan untuk samada terlibat atau tidak. Anda juga boleh menyemak sendiri akses akaun Google anda kepada pihak ketiga di SINI.



Facebook sebelum ini dikritik hebat kerana menjual data peribadi pengguna kepada pihak ketiga, Cambridge Analytica yang kemudian menggunakannya di dalam kempen-kempen politik di seluruh dunia.