Google+ Dilanda Masalah Lagi, Tarikh Penamatan Dianjak 4 Bulan Lebih Awal

Awal Oktober lepas Google telah mengumumkan bakal menamatkan perkhidmatan Google+ ekoran isu kebocoran data lebih 500,000 pengguna.

Penamatan itu dijadualkan bermula pada Ogos 2019, tetapi kini masalah itu semakin berlarutan dan menjejaskan lebih kurang 52.5 juta pengguna.

Pepijat yang dikenal pasti baru-baru ini dikatakan berupaya mendedahkan nama, alamat e-mel, pekerjaan dan umur kepada pembangun pihak ketiga, walaupun tetapan privasi telah dilakukan.

Menurut Ketua Pengurusan Produk untuk G Suite, David Thacker, masalah tersebut berjaya dikesan melalui pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh kakitangan Google. Berikutan itu, tempoh penamatan diawalkan 4 bulan lebih awal iaitu sekitar April 2019.

Sumber: Google