Google Membangunkan Sistem Operasi Baru Yang Dinamakan Sebagai "Pigweed"

Tanda dagang bagi sistem operasi itu telah difailkan.


Google memang diketahui umum sedang membangun dan bereksperimen dengan pelbagai sistem operasi baru seperti Chrome OS dan Fuchsia.

Walaubagaimanapun, baru-baru ini seorang pengguna Reddit bernama lgats menyedari Google LLC telah memfailkan satu lagi nama sistem operasi terbaru yang bernama “Pigweed”.

Berdasarkan semakan pemfailan di laman Pejabat Paten & Tanda Dagangan Amerika Syarikat (USPTO), “Pigweed” dikategorikan sebagai sebuah sistem operasi komputer.

"Mark For: PIGWEED™ trademark registration is intended to cover the category of computer operating software"

Kapsyen: Kredit: USPTO


Pigweed atau juga dikenali sebagai amaranths adalah merujuk kepada keluarga daun tumbuhan yang boleh dimakan secara mentah atau dimasak.

Ia juga memiliki beberapa keluarga berbeza seperti redroot pigweed, prostrate pigweed dan tumble pigweed.

Menurut laman 9To5Google, pertama kali Pigweed ditemui adalah menerusi penemuan di dalam kod sistem operasi Fuchsia. Tetapi tidak dapat dipastikan sama ada Pigweed mempunyai kaitan persamaan dengan pembangunan Fuchsia.

Selain itu, Pigweed juga ditemui dalam kod Google Chromium. Walaubagaimanapun, tiada sebarang info lanjut yang dikongsikan oleh Google tentang pembangunan sistem operasi Pigweed kepada umum sehingga kini.