Google Kongsi Berubahan Tingkah Laku Pengguna Internet dari Malaysia & Indonesia Pada Bulan Ramadan

Ramadan akan hadir menemui kita kurang dua minggu dari sekarang dan seperti yang diketahui, tingkah laku umat Islam pada bulan berkenaan akan sedikit berlainan berbanding pada hari yang lain. Dan ini turut melibatkan tingkah laku pengguna di dunia maya. Perkara ini telah didedahkan oleh Google dalam beberapa infografi yang dihasilkan oleh mereka. Pendedahan itu melibatkan maklumat berkenaan pengguna mereka dari Malaysia dan Indonesia. Infografi tersebut terbahagi kepada 4 bahagian waktu dalam seharian.

Ia bermula daripada jam 3 pagi hingga 8 pagi. Waktu ini merangkumi  waktu di mana biasanya penganut agama Islam akan bangun untuk sahur dan menunaikan solat Subuh. Menurut Google, antara carian paling popular pada masa ini ialah carian berkenaan masa masuknya waktu solat Subuh bagi mengetahui pukul berapakah untuk kita mula berpuasa. Tambahan lagi, umat Islam juga menggunakan waktu ini untuk membuat pilihan berkenaan juadah berbuka puasa dan ia dibuktikan apabila resepi makanan juga merupakan antara carian paling banyak dilakukan pada waktu ini.



Selain daripada waktu solat dan resepi juadah berbuka, pakaian raya dan laman beli belah atas talian juga adalah carian yang sangat popular pada bulan Ramadan bagi pengguna di Malaysia dan Indonesia. Selepas selesai waktu Subuh, kebiasaannya, kita akan sibuk menyiapkan diri untuk ke tempat kerja.

Kumpulan waktu yang berikutnya bermula dari pukul 11 pagi hingga 3 petang. Sekiranya pada bulan yang lain, waktu ini sememangnya akan dipenuhi dengan berbual kosong di kedai makan sambil menikmati juadah makan tengahari namun tidak pada bulan Ramadan. Bagi melupakan rasa lapar, majoriti daripada kita akan melayari internet, bermain permainan video, menonton filem atau sekadar tidur sebentar untuk menghilangkan penat.



Bagi yang menghabiskan waktu rehat tengahari dengan melayari internet ini, menonton video di Youtube adalah menjadi pilihan selain melayari laman sesawang beli belah atas talian. Menurut Google, antara video yang banyak ditonton pada waktu tersebut termasuklah video berkenaan resepi dan tutorial menyiapkan masakan yang kekerapannya meningkat sebanyak lebih kurang 28% berbanding bulan-bulan lain di Malaysia.



Selepas daripada itu, rasa lapar kian menghantui umat Islam terutamanya pada awal bulan Ramadhan pada kumpulan waktu berikutnya iaitu daripada pukul 4 petang hingga ke 8 malam. Kebanyakkan daripada umat Islam di Malaysia dan Indonesia menghabiskan masa ini di atas jalan raya apabila terperangkap pada kesesakan lalu lintas. Bagi yang tidak mengalaminya pula, selepas habis waktu kerja, biasanya ramai daripada kita yang akan mengunjungi bazar Ramadan bagi membeli juadah untuk berbuka puasa.



Ini menyebabkan penggunaan internet pada waktu itu kelihatan sedikit menurun berbanding kumpulan waktu sebelumnya, berdasarkan maklumat daripada Google. Namun, bagi maklumat pembaca, seperti dijangka waktu solat Maghrib adalah perkara paling banyak dicari oleh pengguna internet di Malaysia dan Indonesia.

Memasuki kumpulan waktu yang terakhir iaitu bermula dari pukul 8 malam hingga 11 malam, selepas selesai berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib dan Isyak, umat Islam di sini selalunya akan pergi ke surau atau masjid bagi menunaikan solat Terawih sehingga lebih kurang pukul 10 malam.



Selepas hari yang panjang, kebanyakan daripada kita akan mula masuk ke bilik masing-masing untuk berehat. Pada waktu ini, ramai antara kita yang akan melayari internet sebelum tidur dan jumlah tontonan di Youtube juga kembali meningkat. Majoriti daripada penonton Youtube pada waktu ini memilih video yang berbentuk hiburan dan muzik untuk ditonton sehinggalah mereka merehatkan mata.

Berkaitan