Google Benarkan Pekerja Pindah Ke Negeri Yang Beri Hak Pengguguran Bayi

Beberapa minggu lalu, kecoh di Amerika Syarikat berkenaan keputusan mahkamah berkenaan isu hak pengguguran kandungan yang lebih dikenali sebagi "Roe v Wade".

Sejak 1973, semua penduduk Amerika Syarikat tidak kira di mana-mana negeri berhak melakukan pengguguran kerana diiktiraf di sisi perundangan.

Terbaru, Mahkamah Agung AS menetapkan bahawa setiap negeri boleh melaksanakan undang-undang masing-masing sama ada membenarkan atau tidak seorang wanita menggugurkan kandungannya.

Antara negeri yang memberi hak pengguguran ialah California di mana terletaknya ibu pejabat Google.

Bersempena itu, Google telah memberitahu para pekerja mereka bahawa mereka boleh meminta untuk dipindahkan ke negeri yang menyokong hak tersebut tanpa perlu memberikan alasan.

Ini bermakna mereka yang bekerja di negeri-negeri yang tidak menyokongnya boleh memohon penempatan semula.

Sekitar 30 pejabat Google seluruh AS termasuk di 4 negeri mengharamkan/akan mengharamkan pengguguran iaitu Florida, Texas, Georgia dan Wisconsin.

Wakil Google berkata ia sebenarnya polisi Google sejak dulu lagi. Pemberitahuan ini seolah-olah seperti peringatan semula bagi mereka yang ingin melakukannya.


Sumber: Variety