Google Bakal Buang Ciri Sync Secara Automatik Antara Google Drive Dan Google Photos

Kepada pengguna aplikasi-aplikasi dari Google, ini mungkin kemaskini yang berguna kepada anda kerana Google akan membuang fungsi penyegerakan (sync) automatik pada dua aplikasi mereka iaitu aplikasi Google Drive dan Google Photos.

"Starting in July, new photos and videos from Drive won’t automatically show in Photos."

Menurut kenyataan dari Google, bermula dari bulan Julai tahun ini, gambar dan video yang baru tidak akan disegerakan di antara penyimpanan di talian Google Drive dengan penyimpanan dalaman pada peranti anda melalui aplikasi Google Photos.



Google membuang fungsi ini kerana terdapat maklum balas dari pengguna mengatakan servis mereka mengelirukan pengguna kerana terdapat masalah pemadaman sesuatu media secara tidak sengaja melalui produk-produk syarikat teknologi itu.

Akibat dari perubahan berkenaan, Google menambah fungsi "Upload from Drive" di dalam aplikasi Google Photos dimana pengguna dapat memuat naik gambar dan video secara manual mengikut kesesuaian dan kehendak pengguna. Jika sesuatu media itu sudah dimuat naik, ia tidak lagi disambungkan pada kedua aplikasi tersebut.



Tambahan lagi, segala jenis media yang sudah sedia ada di dalam akaun Google Drive dan Google Photos anda tidak akan diganggu tetapi tidak akan disegerakan secara automatik pada kemasikini akan datang.

Bagi pengguna Windows atau Mac, fungsi  sandaran (backup) dan penyegerakan ini masih berfungsi seperti biasa, cuma kini pengguna mempunyai pilihan untuk memuat naik pada kualiti tinggi atau pada kualiti asal.

Sumber: Google Blog, XDA