Google Bakal Adakan Acara "Misteri" Semasa Persidangan GDC 2019 Bulan Hadapan

Industri permainan video menjadi salah satu industri paling menarik untuk diceburi ketika ini. Ia berjaya menarik minat pengeluar-pengeluar telefon pintar untuk menghasilkan produk-produk menfokuskan permainan video sejak satu atau dua tahun yang lalu.

Terbaru, Google juga dikatakan berminat untuk menyertai industri permainan video secara langsung. Ini kerana mereka telah menjadualkan satu acara misteri semasa persidangan Game Developers Conference 2019 bulan hadapan.



Ia berdasarkan satu video acah berdurasi pendek yang menjadi tular baru-baru ini. Google dijangka akan menggunakan acara tersebut untuk memperkenalkan dengan lebih lanjut mengenai Project Stream mereka, terutama kepada para pembangun permainan.

Project Stream membenarkan pemain bermain permainan video secara strim hanya dengan menggunakan pelayar Google Chrome. Syaratnya, anda perlu mempunyai sambungan internet sekurang-kurangnya pada kelajuan 25Mbps.

Permainan pertama yang disokong oleh projek ini ialah Assasin's Creed Odyssey namun ia hanya tersedia untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja sebelum ini.

Kapsyen: Wccftech


Ujian beta bagi Project Stream sudah pun berakhir, dan tidak mustahil Google akan melancarkan Project Stream ini secara rasminya pada acara itu kelak.

Game Developers Conference 2019 akan berlangsung di San Francisco, Amerika Syarikat pada 18 Mac sehingga 22 Mac depan.

 

Sumber: 9to5Google