Google Allo VS Whatsapp





Baru-baru ini enjin carian paling popular di dunia,Google, memperkenalkan aplikasi pemesejan segera -Google Allo, yang dilihat bakal mencabar Whatsapp. Jika kita lihat secara mata kasar, Whatsapp mengungguli platform pemesejan segera dengan pengunaan lebih dari 1 billion di serata dunia. Mari kita lihat mampukah Allo menandingi keupayaan Whatsapp.



Google Assistant

Google Assistant merupakan fungsi terbaru dari Google dimana pembantu maya ini mampu membantu anda menjawab soalan dan memberi cadangan. Anda boleh memanggil Google Assistant pada bila-bila masa saja hanya dengan menaip @google. Anda mahu tahu tentang maklumat cuaca, penerbangan, permainan terbaru dan apa saja yang anda inginkan, Google Assistant akan membantu anda mencari informasi tersebut dari internet dan meletakkan ia diruangan chat.



Pendek kata, dengan adanya Google Assistant ini anda mampu melakukan apa saja dengan hanya menggunakan satu aplikasi. Seperti contoh, jika anda mahu mengajak rakan anda keluar makan malam bersama menerusi Allo anda hanya perlu memberi arahan kepada Google Assistant dan ia akan mencadangkan restoran berdekatan kawasan anda.



Whatsapp tidak mempunyai fungsi ini. Anda perlu meninggalkan aplikasi ini setiap kali anda memerlukan informasi dari internet.



Smart Reply

Fungsi yang paling menarik dalam Allo adalah Smart Reply. Ia akan membaca serta menganalisa perbualan dan mampu membalas secara automatik bagi pihak anda. Sebagai contoh, jika seseorang menghantar mesej "Apa khabar?" Allo akan mencadangkan anda menghantar balasan seperti "Baik, awak apa khabar?" dan lain-lain lagi. Ia memudahkan bagi mereka yang sibuk untuk membalas mesej.



Anda sendiri tahu fungsi ini tidak terdapat pada Whatsapp.



Emoticon/pelekat

Tidak lengkap rasanya jika sesebuah aplikasi pemesejan tanpa emoji ataupun pelekat. Ia membantu anda mengekspresikan diri anda dengan lebih kreatif. Seperti Whatsapp, Allo dilengkapi dengan pelbagai emoji serta pelekat yang menarik untuk digunakan dalam perbualan. Pada aplikasi Allo juga terdapat Sticker Store yang membolehkan anda memuat turun emoji yang berlainan.



Terdapat satu perbezaan antara Google Allo dan Whatsapp bagi kategori ini. Allo mempunyai Whisper/Shout dimana anda mampu mengubah size emoji dengan hanya menarik ia keatas ataupun kebawah. Selain itu, anda mampu boleh juga mengubah saiz tulisan samada besar atau kecil dengan menekan lama butang hantar. Whatsapp hanya menyediakan fungsi tulisan tebal, italicize dan garis batal.



Picture Recognition

Google Allo menawarkan ciri "Picture Recognition" yang mana aplikasi akan memberi cadangan untuk membalas. Contohnya, jika seseorang menghantar gambar matahari terbenam kepada anda, ia akan mencadangkan teks balasan seperti "Cantiknya" atau "wow" dan anda hanya perlu memilih salah satu cadangan tersebut. Semakin lama anda menggunakan Allo semakin bagus cadangan balasan yang anda akan terima. Begitulah hipotesisnya.



Dan sudah semestinya Whatsapp tidak mempunyai ciri ini.



Incognito Mode

Privasi merupakan perkara yang amat dititik beratkan oleh Google. Ciri ini merupakan titik pemisah yang membezakan Allo dengan aplikasi pemesejan segera yang lain. Jika mod ini digunakan, Allo akan menyahupayakan (disable) Google dari menyimpan setiap mesej anda di dalam server mereka. Google juga tidak mampu membaca mesej anda itu. Bukan setakat itu sahaja, mesej yang anda hantar juga akan hilang dari peranti penerima dalam jangka masa yang ditetapkan. Sangat sesuai bagi anda yang gemar mengumpat!



Nampaknya Whatsapp kalah lagi.



Panggilan Suara

Kali ini Whatsapp boleh mendabik dada kerana Allo tidak mempunyai fungsi panggilan suara. Pengguna Whatsapp mampu membuat panggilan suara menerusi sambungan internet. Pilih nama rakan yang mahu di hubungi dan tekan ikon telefon untuk membuat panggilan. Panggilan juga boleh dibuat pada sambungan internet yang perlahan.



Dijangka Google akan menambah fungsi panggilan suara ini pada Allo pada masa akan datang.



Begitulah serba-sedikit tentang kelebihan Google Allo yang mungkin membuatkan anda mahu memasangkan ia pada peranti anda.



Sumber: Phone Smart