Google Akui Jualan Pixel 3 Kurang Memberangsangkan, Lebih Teruk Berbanding Pixel 2

Google Pixel boleh dianggap mempunyai reputasi yang baik di kalangan pengguna telefon pintar di Malaysia walaupun ia tidak dijual secara rasmi di sini.

Bagaimanapun, di peringkat global, populariti jenama itu seolah-olah semakin berkurangan. Ia berikutan laporan yang menyatakan jualan model terbaru mereka, Pixel 3 adalah kurang memberangsangkan.

Malah, kadar jualan peranti itu dikatakan gagal menandingi generasi sebelumnya, Google Pixel 2. Antara alasan yang didakwa menjadi punca perkara ini berlaku ialah kurangnya penambahbaikan pada Pixel 3 berbanding Pixel 2.

Kapsyen: Computerworld


Bagaimanapun, ada juga pendapat yang menyatakan bahawa Pixel 3 gagal terjual dengan laris bukan kerana ianya kurang bagus, akan tetapi Pixel 2 masih cukup bagus untuk digunakan.

Ia sekaligus menyebabkan pengguna Pixel 2 tidak berasa perlu untuk mendapatkan model baharu ketika ini. Namun, tidak dapat dinafikan rekaan Google Pixel 3 sepatutnya lebih menarik daripada Pixel 2.

Google dijadualkan akan melancarkan Google Pixel 3a tidak lama lagi dan mereka pastinya berharap agar peranti tersebut akan dapat memenangi hati pengguna.

 

Sumber: Ars Technica