Google telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi mendapatkan bekalan tenaga daripada ladang solar berkapasiti 29.99 megawatt (MW) yang terletak di Gurun, Kedah.
Projek solar ini dibangunkan di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) oleh SM01 Sdn Bhd, sebuah konsortium yang terdiri daripada Shizen Malaysia (49%), Solarvest (33%) dan HSS (18%).
Shizen Malaysia bertindak sebagai pemaju utama, manakala UOB Malaysia dilantik sebagai mandated lead arranger dan pemberi pinjaman tunggal bagi kemudahan pembiayaan projek.
Melalui projek ini, Google akan menerima sokongan tenaga bersih secara masa nyata, jam demi jam, bagi memenuhi keperluan operasinya termasuk pusat data.
Pada masa sama, inisiatif ini turut menyumbang kepada sasaran penyahkarbonan seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menetapkan sasaran 70% tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.
Shizen Energy memaklumkan projek berkenaan telah memuktamadkan pembiayaan pada 3 November 2025 dan dijadualkan mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada 2027.
Setakat ini, Shizen Energy mempunyai kapasiti terkumpul sekitar 60MWp di Malaysia. Sebelum projek Google, syarikat itu telah melaksanakan beberapa projek solar atas bumbung untuk pelanggan korporat, termasuk Top Glove dan Hokto Malaysia.
{suggest}
