Giliran Permainan Fortnite Pula Berdepan Tindakan Undang-Undang Dari PUBG

Jika sebelum ini syarikat pembangun permainan video Rules of Survival (ROS) dan Knives Out, NetEase telah disaman oleh PUBG Corporation, kini tindakan yang sama turut telah diambil mereka ke atas pembangun permainan Fortnite, Epic Games.

Bluehole, yang merupakan syarikat induk bagi PUBG Corp, sebelum ini telah menyatakan kebimbangan mereka terhadap peningkatan persamaan di antara kedua-dua permainan video tersebut. Dan baru-baru ini, satu saman telah difailkan kepada Epic Games oleh PUBG Corp di Korea Selatan.



PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) merupakan pemangkin kepada permainan battle royale ini dan populariti melambung permainan tersebut menyebabkan beberapa permainan 'klon' telah dibangunkan selepas itu. Ia termasuk permainan Fortnite dan Rules of Survival (ROS).

Baru-baru ini, Epic Games telah mengumumkan bahawa mereka akan membawa permainan Fortnite versi mudah alih kepada peranti Android pula selepas hanya boleh dimainkan melalui peranti iOS sebelum ini. Bagi permainan PUBG pula, PUBG Mobile sudah berada di pasaran mudah alih sejak Mac 2017.

Sekiranya PUBG berjaya memenangi saman kali ini, ia merupakan tamparan hebat buat pembangun permainan yang hampir serupa berikutan lambakan permainan battle royale telah berada di pasaran pada ketika ini.

Sumber