Gigabyte Lancar Aorus RTX 3090/3080 Gaming Box - eGPU Dengan Penyejukan Cecair Untuk Komputer Riba

Kebanyakan pemilik komputer riba masa kini tidak mempunyai kad grafik yang terbina di dalam dan jika ada sekali pun, ia tidak cukup berkuasa seperti kad grafik pada desktop.



Gigabyte kini telah melancarkan Aorus RTX 3090/3080 Gaming Box iaitu eGPU dengan sistem penyejukan cecair (water cooling) untuk menyokong komputer riba.

Ini merupakan kali pertama kad grafik luaran yang hadir dengan sistem penyejukan ini dimana kebanyakannya hanya mempunyai port untuk memasang kad grafik sahaja.



eGPU Aorus ini bukan hanya menyejukkan kad grafik ini sahaja tetapi ia turut menyejukkan kepada VRAM dan MOSFET bagi memastikan jangka hayatnya lebih panjang.

Di dalamnya terbina radiator yang berukuran 240mm beserta dua kipas bersaiz 120mm dengan rekaan yang kompak. Selain sistem penyejukan, ia hadir dengan port Thunderbolt 3 untuk sambungan yang lebih pantas dan baik.



Melalui penawaran ini, ia sesuai buat golongan pengguna Ultrabook yang mahukan prestasi grafik yang baik atau pengguna yang melakukan kerja penyuntingan dimana ia beri prestasi setanding PC.

Tambahan lagi, buat penggemar RGB, mereka boleh menikmatinya kerana ia menampilkan RGB pada kotak grafik ini dimana boleh dikawal menerusi AORUS engine dan RGB Fusion 2.0.

Walau bagaimanapun, Gigabyte tidak mengumumkan tanda harga bagi eGPU ini akan tetapi sudah pasti harganya sedikit mahal berbanding kad grafik biasa.