Gen Y Khususnya Lelaki Didapati Lebih Mudah Di 'Scam' Menurut Penyelidik

Kajian ini dijalankan ke atas rakyat Amerika, bukan Malaysia. Tetapi ia memberikan  gambaran yang sama iaitu betapa mudahnya pengguna ditipu.


Satu laporan penyelidikan terhadap isu Spam dan Scam di Amerika Syarikat bagi tahun 2019 telah dikeluarkan oleh Truecaller, iaitu sebuah syarikat pembangun aplikasi yang khusus bagi menyekat spam dan panggilan palsu.

Menurut Truecaller, kerugian yang dialami oleh Amerika akibat daripada panggilan palsu dianggarkan melebihi 10 bilion Dollar US.

Kerugian akibat panggilan palsu tersebut meningkat daripada tahun sebelumnya di mana bagi tahun 2018, hanya sebanyak USD8.9 bilion sahaja kerugian yang dialami oleh Amerika.

Tetapi pada tahun 2019, ia telah meningkat kepada 10.5 bilion Dollar US.

Kapsyen: Kerugian berbilion dolar akibat masalah ini bagi tahun 2019 merupakan yang tertinggi dalam tempoh 5 tahun.


Dalam laporan tersebut juga diperincikan bahawa mereka yang kerap menjadi mangsa penipuan tersebut adalah terdiri daripada golongan generasi Y khususnya kaum lelaki yang lahir antara tahun 1982 hingga 2000.

Kapsyen: Lelaki dan remaja adalah golongan paling berpotensi untuk menjadi mangsa penipuan telefon terutamanya mereka yang berumur antara 18 dan 34 tahun berbanding wanita.


Malah dalam laporan itu juga menyebut, ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak di bawah umur 18 tahun didapati tiga kali lebih mudah menjadi mangsa panggilan telefon palsu iaitu pada kadar 30%.

Manakala hanya 10% sahaja daripada orang dewasa tanpa kanak-kanak di bawah umur 18 dilaporkan telah kehilangan wang akibat panggilan palsu dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

Pemilik telefon bimbit menjadi sasaran


Penyelidik juga mendapati, penipuan menerusi panggilan telefon dalam tempoh 12 bulan yang lalu menunjukkan bahawa 83% daripadanya telah berlaku melalui telefon bimbit.

Manakala hanya 22% sahaja berlaku ke atas talian tetap. Tetapi ada juga dilaporkan tentang mangsa menerima panggilan palsu ini di telefon mudah alih dan talian tetap mereka.

Teknik panggilan palsu yang digunakan


Kajian oleh Truecaller juga mendapati tawaran pinjaman wang yang rendah, kad kredit dan panggilan politik adalah antara bentuk situasi popular yang digunakan oleh pihak scam.

Kapsyen: Antara bentuk situasi yang digunakan oleh scammer bagi menipu mangsa mereka menerusi panggilan telefon palsu yang dibuat mereka.

Apa kurangnya rakyat Malaysia...


Walaupun laporan tersebut adalah kajian yang dibuat terhadap rakyat Amerika. Tetapi apa kurangnya rakyat Malaysia yang turut berdepan isu yang hampir sama ini.

Ini kerana sering kali dilaporkan oleh media massa tentang rakyat Malaysia yang ditipu hanya menerusi panggilan telefon dan juga internet. Isu yang paling biasa didengari adalah 'Macau Scam' dan 'Love Scam'.

Sebagai contoh, kes yang baru sahaja dilaporkan beberapa hari lepas di mana seorang lelaki telah berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM487,000 akibat ditipu oleh sindiket Macau Scam.

Malah penulis juga sebelum ini pernah didekati oleh scammer menerusi laman sosial Facebook.

Oleh itu, bersama-samalah kita berhati-hati daripada menjadi mangsa 'scam'.

P/s:  Jika anda berminat untuk mendapatkan laporan penuh Spam dan Scam oleh Truecaller ini, anda boleh layari laman muka Truecaller blog