Gedung Aplikasi Aptoide Android Alami Masalah Sekuriti - Data 39 Juta Pengguna Terkesan

Terdapat tiga jenis gedung aplikasi di Android. Yang pertama adalah rasmi dari Google iaitu Play Store. Yang kedua adalah dari pengeluar seperti Samsung Galaxy Store dan Huawei AppGallery dan yang ketika gedung pihak ketiga seperti ApkPure atau Aptoide.

Berkata mengenai Aptoide, dikatakan gedung ini telah dipecah masuk oleh penggodam. Penggodam tersebut dipercayai telah mencuri sebanyak 39 juta rekod pengguna dan telah mensiarkan 20 juta daripadanya ke forum penggodam popular. Antara butiran data pengguna tersebut termasuklah emel dan kata laluan.

Pada 18 April lalu, Aptoide telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengkalan data gedung aplikasi itu mungkin menjadi mangsa serangan godam dan kebocoran maklumat. Buat masa ini, pihak mereka mengatakan walaupun digodam, kata laluan yang terdedah itu telah disulitkan, serta tiada data lain selain emel dan juga kata laluan di dalam pengkalan data itu.

Tindakan yang Aptoide ambil sebagai langkah berjaga-jaga buat masa ini adalah menutup sebarang pendaftaran baharu sehingga audit sekuriti penuh dijalankan. Selepas ini, apabila Aptoide membuka kembali gedung aplikasi tersebut, ia akan memerlukan pengguna sebelum ini mereka kata laluan baharu.

Sumber: Forbes

Berkaitan