Garis Panduan Baru Bagi Pendaftaran Perkhidmatan Pra-Bayar Yang Akan Bermula Pada 2018

Sepertimana yang telah digembar-gemburkan sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sudahpun mengeluarkan satu garis panduan baru bagi pendaftaran perkhidmatan pra bayar dan ia akan mula dikuatkuasakan secara menyeluruh pada 1 Januari 2018 nanti.

Berikutan timbulnya beberapa laporan penyalahgunaan kad sim prabayar, langkah ketat telah diambil bagi membendung kejadian serupa daripada berulang. Selain itu, maklumat pengguna juga dapat dilindungi dari digunakan dalam kegiatan jenayah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berikut merupakan ringkasan kepada garis panduan baru yang dikeluarkan oleh SKMM.

1. Mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2018.

2. Garis panduan ini mestilah dipatuhi semua penyedia perkhidmatan dan semua pengguna tanpa mengira kewarganegaraan, rakyat Malaysia, warga asing, dan pelancong.

3. Pengguna diwajibkan menyediakan maklumat-maklumat berikut semasa proses pendaftaran kad sim pra-bayara;

Warganegara Malaysia

  • Nama penuh seperti yang tertera di dalam kad pengenalan

  • Alamat tetap seperti dalam yang tertera di dalam kad pengenalan

  • Alamat surat menyurat

  • Nombor kad pengenalan

  • Sebarang maklumat lain yang diperlukan oleh Suruhanjaya


Warga Asing (Pekerja atau pelajar)

  • Nama penuh mengikut pasport

  • Nombor pasport

  • Negara pasport dikeluarkan

  • Nama syarikat dan alamat seperti dalam dokumen permit bekerja atau dokumen pelajar beserta alamat universiti (untuk pelajar)

  • Alamat surat menyurat


Pelancong (Melawat Malaysia dan tinggal kurang dari 3 bulan)

  • Nama penuh mengikut pasport

  • Alamat hotel atau tempat tinggal sementara

  • Nombor pasport

  • Negara pasport dikeluarkan

  • Sebarang maklumat lain yang diperlukan oleh Suruhanjaya


4.  Bagi proses pengesahan, pengguna dikehendaki menyediakan dokumen berikut semasa proses pendaftaran dibuat:

  • Alamat surat-menyurat: Sediakan bil utiliti yang terkini (bil air, elektrik, TV satelit atau bil jalur lebar)

  • Hotel/tempat tinggal sementara: Bukti yang menunjukkan pengguna tinggal di alamat tersebut, borang tempahan hotel dan lain-lain.


Sekiranya maklumat yang diberi dikenal pasti sebagai palsu, pengendali perkhidmatan akan menamatkan perkhidmatan pra-bayar itu serta-merta.

5. Penyedia Perkhidmatan tidak boleh mendaftarkan mana-mana pelanggan baru
lebih dari lima (5) SIM kad untuk setiap pelanggan.

6. Penyedia Perkhidmatan atau Dealers dituntut untuk menggunakan platform automatik seperti MyKad reader, Biometric reader, Optical Characteristics Recognition Service Providers atau Pendaftaran Dalam Talian disahkan melalui Akaun Kewangan atau platform automatik lain yang diluluskan oleh SKMM. Jika pendaftaran dibuat secara manual, pengguna boleh melaporkan perkara tersebut kepada SKMM atau CFM.

7. Pendaftaran adalah percuma, jika pengguna dikenakan bayaran, sila laporkan kepada SKMM atau CFM.

8. Pengguna boleh semak dan sahkan sebarang kad sim yang didaftarkan dibawah pengenalan mereka. Penyedia perkhidmatan perlulah menyediakan portal atau aplikasi untuk servis ini tanpa mengenakan cas.

9. Buat masa sekarang pengguna tidak perlu menunjukkan pengenalan diri untuk membeli tambah nilai. Penyedia perkhidmatan sedang mencari jalan terbaik untuk proses tambah nilai dengan pengenalan diri dan ia akan dilaksana apabila sistem sudah sempurna.

10. Untuk mendaftar, pengguna perlu berkunjung ke pusat penyedia perkhidmatan, pengedar sah atau ejen dengan membawa dokumen pengenalan diri yang asal. Salinan dokumen pengenalan diri tidak dibenarkan.

Untuk makluman semua, sebahagian garis panduan ini sudah pun berjalan sejak 1 Jun yang lalu dan pelaksanaan menyeluruh akan bermula pada awal tahun hadapan.

Sumber: Malaysian Wireless