Gara-Gara Face ID iPhone X Tidak Berfungsi, Seorang Wanita Telah Ditumbuk Dimuka

Seorang wanita yang juga pekerja sebuah kedai menjual produk Apple telah ditumbuk dimuka oleh pemuda yang mendakwa iPhone X miliknya gagal berfungsi.

Kejadian itu berjaya dirakam CCTV kedai terbabit, Studio 7, yang berlokasi di Bangkok, Thailand.

Difahamkan, ia berlaku selepas pembeli, Kritpan Kitjit, mendakwa ciri Face ID pada iPhone X yang dibeli dari kedai terbabit gagal mengimbas wajahnya.

Lanjutan daripada itu, Kitjit kembali ke kedai terbabit dengan hasrat untuk mendapatkan model ganti atau berharap wang pembeliannya dikembalikan.

Setelah pemeriksaan dibuat, petugas wanita itu menyatakan iPhone X kepunyaan Kitjit tidak mengalami sebarang masalah dan wang tidak boleh dikembalikan sekiranya peranti dalam keadaan normal.

Namun salah faham telah berlaku dan Kitjit dilihat melepaskan satu tumbukan diwajah petugas wanita berkenaan.

Rakaman CCTV terbabit telah dimuat naik lebih kurang dua minggu lalu, dan setakat ini ia telah ditonton 1.4 juta kali.

Kitjit juga dilaporkan sudah menyerah diri kepada pihak polis dan dan didenda sebanyak 5000 baht (~RM 631.57) disamping membuat permohonan maaf kepada petugas yang dipukulnya itu.