Gandingan Intel Dan AMD Hasilkan CPU Generasi Ke-8 Berserta GPU AMD RX Vega M

Umum mengetahui Intel merupakan seteru utama AMD sejak bertahun lamanya, tetapi itu tidak menjadi penghalang bagi kedua-duanya bekerjasama menghasilkan produk terbaik bagi peminat mereka.

Gandingan dua syarikat gergasi perkomputeran itu telah menampakkan hasil dengan pengenalan cip gabungan antara pemprosesan generasi ke-8 dari Intel dengan pemprosesan grafik keluaran AMD.



Hampir dua bulan lamanya sejak kerjasama ini diumumkan pertama kali pada November 2017, baru kini perincian mengenai cip pemprosesan itu didedahkan kepada umum.

Lima cip yang terdiri daripada Intel Core i5 hinggalah kepada Intel Core i7 akan dipadukan dengan pemproses grafik AMD Radeon RX Vega M.

Setiap satunya turut dilengkapi dengan HMB2 VRAM 4GB yang mana menurut Intel, ia dapat menjimatkan ruang dalaman komputer riba secara drastik sambil meningkatkan hayat bateri.

Cip-cip ini dibina dan disasarkan kepada komputer berkuasa tinggi dan dalam erti kata lain, anda akan melihatnya pada siri-siri komputer kelas atasan pada masa hadapan.

Intel dan AMD masih belum berkongsi nama pengeluar komputer yang akan menggunakan cip mereka ini.