Galaxy S9 Mungkin Tidak Ada Bicu Audio

Sebelum Galaxy S8 dilancarkan, terdapat khabar angin mengatakan model itu akan membuang bicu audio dan ternyata ia tidak benar. Kali ini timbul lagi khabar angin yang sama, tetapi untuk model Galaxy S9 yang diramalkan pelancarannya tahun hadapan.

Berdasarkan sumber di Weibo oleh Ice Universe, Galaxy S9 akan dipasarkan dengan fon telinga AKG yang disokong dengan sambungan Bluetooth. Ini membayangkan bahawa Samsung bakal menampilkan rekaan tanpa bicu audio keatas siri Galaxy S telefon berkenaan.

Jika dilihat sebelum ini, Ice Universe mempunyai rekod prestasi yang baik dalam mengeluarkan informasi seperti itu, tetapi tidak boleh dipercayai bulat-bulat kerana ianya bukanlah informasi yang rasmi.

Dengan spekulasi yang tersebar ini, Samsung bakal mengikut jejak langkah Apple dan Google dalam membuang bicu audio pada telefon pintar mereka, yang mana ia dapat meningkatkan keupayaan kalis air sesebuah peranti.

Sumber: Ice Universe