Galaxy Note FE - Kelahiran Semula Note 7

Umum sudah mengetahui Note 7 akan membuat kemunculan semula ke pasaran dan hari ini Samsung Malaysia telah mengesahkannya secara rasmi.

Dengan menggunakan nama baru Note FE (Fan Edition), phablet ini adalah sama seperti Note 7 tetapi tampil dengan bateri yang lebih selamat. Dalam kenyataan sebelum ini, Samsung telah menetapkan beberapa syarat dan kriteria dalam memastikan peranti ini kembali dijual ke pasaran.



Yang pertama peranti yang dijual ke pasaran haruslah dilabelkan sebagai unit ‘refurbished’. Yang ke dua komponen yang boleh digunapakai haruslah dipisahkan daripada peranti untuk digunakan semula. Yang ketiga, proses seperti ekstrak logam hendaklah dilakukan dengan menggunakan kaedah mesra alam.

Untuk memperingatkan kembali memori anda, Galaxy Note FE adalah peranti yang sama dengan Galaxy Note 7. Ianya memiliki paparan skrin QUAD HD Super AMOLED bersaiz 5.7 inci dengan rekaan lengkung dibahagian sisi tepi.



Antara yang menjadi perhatian peminat adalah saiz baterinya. Note FE dimuatkan dengan kapasiti bateri 3,200 mAh berbanding sebelum ini, 3,500 mAh.

Hadir dengan cip pemprosesan Exynos 8890 manakala RAM bersaiz 4GB dan storan dalaman 64GB. Dari segi kamera, peranti ini dibina bersama kamera utama 12MP f/1.7 dan kamera swafoto 5MP dihadapan.

 

Galaxy FE dijual pada harga RM2,599 dan hadir dengan pilihan warna Coral Blue dan Black Onyx. Peranti ini akan mula dijual pada 25 Oktober ini. Yang menariknya, Malaysia adalah negara pertama yang menerima Galaxy FE selepas Korea Selatan, negara pangkalan Samsung.

Untuk informasi tambahan, anda boleh lawati di sini.

Sumber: Samsung