Galaxy Note 9 Mungkin Guna Atau Mungkin Tidak Guna Pengimbas Cap Jari Di Dalam Skrin

Fungsi pengimbas cap jari di dalam skrin paparan telah lama berlegar-legar di luar sana dan pengguna tertanya-tanya pengeluar telefon pintar mana yang pertama akan menggunakannya. Persoalan tersebut bermula sebelum keluarnya peranti Samsung Galaxy Note 8 dan peranti iPhone X.



Kini segalanya sudah terjawab apabila Vivo menggunakan fungsi tersebut di dalam peranti X20 Plus manakala Apple dan Samsung pula menggunakan sistem nyahkunci yang lain. Galaxy Note 8 menggunaknan pengimbas cap jari di bahagian belakang peranti dan Apple pula memperkenalkan Face ID, sistem nyahkunci menggunakan wajah.

Samsung kekal menggunakan sistem nyahkunci menggunakan cap jari untuk telefon pintar Galaxy S9 mereka dan mungkin akan menggunakan pengimbas cap jari terbina di dalam skrin untuk telefon pintar Galaxy Note 9.



Perkara ini dilaporkan oleh media Korea Selatan, The Investor yang mendapat maklumat dari sumber industri mereka. Menurut mereka, Samsung Display, pembuat skrin paparan telah menyediakan 3 ke 4 penyelesaian kepada Samsung Electronics untuk menggunakan paparan yang membolehkan pengimbas cap jari digunakan di dalam skrin paparan.

Samsung dijangka akan memperincikan keputusan mereka untuk peranti Galaxy Note 9 yang mungkin akan singgah di pasaran pada bulan Ogos atau September ini.