Gaji Tak Naik Macam Dijanji, Pekerja Apple Tubuh Persatuan Guna Telefon Android

Tempoh hari, Apple dilaporkan akan menaikkan gaji pekerja kedai mereka di Amerika Syarikat dan tampak seperti keadaan baik-baik sahaja dalam kalangan pekerja. "Indah khabar daripada rupa", mungkin inilah frasa yang diungkap pekerja Apple jika disoal hari ini.

Walaupun Apple menaikkan gaji pekerja kedainya baru-baru ini, tetapi sebahagian daripada mereka memperoleh kenaikan kurang daripada $1 (~RM4.19) per jam, di mana mereka menjangkakan sekurang-kurang $5 (~RM20.93), luah pekerja Apple.

Jadi, setelah sekian lama, mereka kini terus memperjuangkan untuk menubuhkan persatuan pekerja. Dilaporkan sekurang-kurang kumpulan dari 2 kedai Apple sedang menyiapkan kertas kerja untuk diserahkan kepada National Labor Relations Board (NLRB) atau Lembaga Perhubungan Buruh Kebangsaan bagi membentuk persatuan pekerja. Manakala pekerja dari sekitar 12 kedai lain masih di peringkat awal untuk menyertainya.

Kebiasaannya, persatuan pekerja di mana-mana sekalipun mempunyai pengaruh besar dan disebabkan inilah pemain-pemain industri gusar jika pekerja mereka berjaya menubuhkannya. Hal ini kerana persatuan pekerja ialah sebuah organisasi yang dilindungi dan diiktiraf di sisi undang-undang.

Amerika Syarikat ketika ini sedang mengalami kadar inflasi yang tinggi dan menjejaskan kehidupan rakyatnya dengan sangat ketara. Termotivasi dengan gerakan pekerja Starbucks yang berjaya menubuhkan persatuan pekerja mereka, kedai-kedai Apple juga kini terus memperkuat jentera untuk menekan majikan mereka.

Apple ketika ini mempunyai 500 kedai di seluruh dunia dan lebih 270 di Amerika Syarikat sahaja. Ini menjumlahkan sekitar 65,000 pekerja. Jualan dalam talian dan kedai mereka menyumbang pada 36% pendapatan syarikat sebanyak $366 bilion pada 2021.

Jadi, untuk mengelakkan daripada gerakan terperinci mereka dikesan, pekerja-pekerja ini bermesyuarat secara rahsia serta berkomunikasi menggunakan permesejan yang disulitkan (encrypted). Mereka juga kadang-kala berhubung menggunakan peranti Android untuk kekal di bawah radar.

Tergugat, terdapat juga pengurus di kedai Apple yang sudah mula memujuk pekerja bawahannya untuk tidak menyertai gerakan ini dengan memberitahu gaji mereka berisiko diturunkan dan memaksa Apple untuk merampas faedah yang diberikan selama ini.

Kapsyen: Cher Scarlett, penggerak #AppleToo dan bekas kakitangan Apple. Sumber: The Post


Sebenarnya, gaji per jam diberikan Apple tidak jauh berbeza dengan apa yang ditawarkan syarikat lain dalam rantau masing-masing namun yang menjadi ketidakpuasan hati pekerja ialah Apple yang mengaut keuntungan tinggi tetapi ia tidak diagihkan sama rata kepada pekerja bawahan. Pekerja-pekerja ini percaya Apple berjaya mencapai nilai $3 trilion disebabkan mereka - pekerja bawahan - yang menjual produk Apple secara langsung pada pengguna.Gerakan untuk menubuhkan persatuan pekerja ini turut mendapat sokongan daripada kakitangan korporat Apple iaitu jurutera perisian dan pengurus produk.

Cher Scarlett, bekas jurutera perisian di Apple berkata, "Jika syarikat terkaya di dunia tidak mahu membayar pekerjanya dengan munasabah, siapa lagi?".

Apple bagaimanapun tidak memberi sebarang komen secara terbuka tentang hal ini.

Sumber: The Washington Post

Baca juga: