Gajet Apa Yang Anda Boleh Beli Dengan RM450

Mungkin dalam masa terdekat ini akaun baki bank anda secara tiba-tiba mempunyai duit lebih 'tanpa sebab'. Dan anda pula secara tiba-tiba mahu membeli sesuatu peranti atau gajet yang anda sendiri tidak tahu di mana hendak bermula.

Di sini kami cuba tambilkan beberapa produk bagi membantu anda membuat keputusan berdasarkan bajet sebanyak RM 450. Diingatkan, pilihan kami berdasarkan bajet yang diberi dan harga jualan adalah mengikut harga pasaran sedia ada.

Xiaomi Mi Piston Hybrid Pro HD

Harga: RM 125.00 



Kami mulakan kiriman kami dengan produk dari negara tembok besar, China. Xiaomi merupakan satu jenama yang tak perlu diperkenalkan kepada rakyat Malaysia kerana jenama ini terkenal dengan peranti telefon pintar mereka. Namun jangan salah sangka pula, Xiaomi juga menghasilkan fon telinga mereka dengan kualiti setanding fon telinga premium lain di luar sana.

Untuk mereka yang memerlukan fon telinga baru untuk kegunaan harian seperti mendengar muzik semasa menaiki pengangkutan awam sehinggalah sambil belajar di tengah malam, Xiaomi Mi Piston Pro menawarkan fon telinga yang memberikan kualiti muzik yang baik dengan gred buatan yang sangat kuat. Mi Piston Pro menawarkan keseimbangan audio yang agak seimbang untuk semua jenis muzik dan memberikan penekanan terhadap butiran di dalam setiap melodi.

JBL C100SI

Harga: RM 30.00

 

 



Untuk mereka yang selalu melawat gudang talian seperti Lazada atau Shopee pasti pernah melihat fon telinga ini ditawarkan dalam promosi kilat. Fon telinga kategori murah ini mendapat faktor puas hati bagi kami kerana dengan harga serendah ini, anda mendapat fon telinga yang boleh diharap dan tahan lama tanpa perlu mengeluarkan belanja yang tinggi. Kualiti main balik muzik untuk fon telinga ini juga pada tahap yang memuaskan dengan melodi tinggi sedikit tajam. Bahan binaanya diperbuat daripada plastik dan tidak menawarkan perlindungan yang lebih baik dari besi. Pastikan anda tidak selalu membiarkan fon telinga ini terhentak dengan kuat sehingga boleh merosakkanya.

 

Skullcandy Grind

Harga: RM 313.62



Untuk fon kepala pula, kami menampilkan produk dari Skullcandy iaitu Skullcandy Grind. Fon kepala ini menawarkan keselesaan yang agak baik walaupun dalam kategori on-ear headphone. Tekanan yang diberikan kepada telinga juga tidaklah terlampau kuat jika dibandingkan dengan fon kepala kategori yang sama di luar sana. Dengan menggunakan binaan besi di bahagian lengkungan memberikan binaan yang kuat berbanding plastik. Fon kepala ini tidak menggunakan sambungan di bahagian ear cups dengan lengkungan membuatkan fon kepala ini tidak boleh dilipat untuk tujuan simpanan. Fon kepala ini juga tidak menawarkan ciri noise cancelling membuatkannya tidak sesuai digunakan untuk keadaan yang bising.

Sony MDR-ZX110 Noise Cancelling

Harga: RM 189.90



Fon kepala dari Sony ini menampilkan ciri noise cancelling (NC) sebanyak 95% dari bunyi sekeliling menurut mereka. Ini sesuai bagi mereka yang selalu menggunakan pengangkutan awam seperti LRT dan juga bas awam. Fon kepala ini menggunakan sumber kuasa dari bateri dan memberikan jangka hayat selama 80 jam dengan satu bateri bersaiz AAA.

JBL Flip 3

Harga: RM 400.00



Bagi peminat speaker pula, JBL Flip 3 memberikan nilai kepada wang anda. Dengan rekaan kompak dan tahan airspeaker ini boleh dibawa dan dimainkan di mana-mana sahaja. JBL Flip 3 boleh disambungkan ke peranti Android dan juga iOS menggunakan sambungan Bluetooth dan juga kabel . Speker ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 3,000 mAh yang boleh dicaj semula dengan tempoh penggunaan selama 10 jam dengan setiap caj penuh.

Sony SRS-XB10

Harga: RM 160.90



Sony SRS-XB10 juga boleh menjadi pilihan yang baik dengan harga yang lebih murah. Saiznya yang comel dan juga ciri tahan air, memudahkan pengguna membawanya kemana-mana. Speaker ini boleh disambung ke peranti telefon pintar menggunakan Bluetooth, kabel atau NFC. Tempoh penggunaan pula adalah selama 16 jam dengan setiap caj penuh.

 

Syma X8SW

Harga: RM 382.00



Dron kecil ini menjadi pilihan ramai kerana harganya yang mampu milik dan tempoh terbang yang agak lama untuk bateri berkapasiti 2,000 mAh. Dron ini mampu untuk mengambil video dalam format MOV dengan resolusi 1280 x 720. Untuk format imej pula, dron ini menggunakan format JPEG dengan resolusi 1280 x 720. Dron ini sangat sesuai kepada sesiapa yang ingin memiliki dron pertama mereka dengan rekaan yang kompak dan sangat mudah untuk dipasang.

DJI Tello



Tello dari pembuat dron terkenal, DJI membawakan dron terbaru mereka dengan harga yang murah jika dibandingkan dengan dron-dron mereka yang lain. Perlu diingatkan yang dron ini telah melebihi bajet asal kami iaitu RM 450, tetapi dengan menambah sedikit wang, anda telah memiliki satu dron yang sangat boleh diharap dengan fungsi-fugsi yang ditawarkan. Dron ini boleh di pra-tempah dengan harga bermula RM 499.00 dengan warranti selama 1 tahun dari DJI Malaysia.

Logitech Mx Master

Harga: 313.00



Bila sebut pasal tetikus, Logitech pasti salah satu nama besar yang akan disebut oleh pengguna. Ini disebabkan Logitech menghasilkan tetikus yang berkualiti dan boleh diharap untuk penggunaan seharian samada untuk bekerja mahupun bermain permainan komputer. Mx Master merupakan tetikus tanpa wayar yang menawarkan prestasi lancar bersama-sama penggunaan tetikus yang selesa. Tetikus ini menggunakan bateri yang boleh dicaj semula dan boleh digunakan bersama kabel jika anda mahu.

Logitech G502 Proteus Core

Harga: RM 320.00



Untuk peminat tetikus gaming pula, Logitech G502 boleh menjadi calon tetikus anda. Tetikus ini boleh dikatakan menjadi pilihan gamers di luar sana kerana memberikan tetikus yang selesa untuk digunakan dan sensor optikal yang tepat (PMW3366). Logitech G502 mempunyai ciri-ciri berat yang boleh laras dan LED RGB yang boleh diubah menggunakan perisian Logitech.

Ducky One Mechanical Keyboard (non-backlit)

Harga: RM 339.00



Ducky sebuah pengeluar papan kekunci terkemuka dari Taiwan menghasilkan papan kekunci yang sangat dikenali oleh peminat papan kekunci mekanikal. Mereka mempunyai pelbagai pilihan untuk papan kekunci dan untuk bajet di bawah RM 450, Ducky One dipilih. Papan kekunci ini menggunakan 100% suis mekanikal Cherry dan ketahanan binaannya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Logitech G413 Carbon

Harga: RM 429.00



Logitech sekali lagi muncul dalam senarai ini melalui papan kekunci G413 Carbon mereka. Papan kekunci ini menggunakan suis Romer-G buatan Omron yang digunakan kebanyakkan papan kekunci dari Logitech. Suis Romer-G dikatakan lebih senyap dan respon yang lebih cepat berbading suis Cherry yang biasa. Papan kekunci ini disertakan lampu belakang dalam pilihan warna merah atau putih.

Samsung S22F355FHE 22" Full HD LED Monitor

Harga: RM 390.00



Monitor dari Samsung ini membawakan rekaan nipis dimana ketebalannya hanya berukuran 10 mm. Monitor ini menggunakan panel LED (backlit) dengan resolusi mencapai 1080p (1920 x 1080). Port seperti HDMI dan VGA turut disertakan malangnya kabel VGA tidak disertakan sekali dengan monitor. Speaker dalaman juga tidak terbina sekali membuatkan sambungan ke PS4/XBox memerlukan speaker berasingan.

LG 21.5" 22MP48HQ Full HD IPS Monitor

Harga: RM 398.00

 



Monitor LG ini pula memberi pengguna teknologi yang sama seperti monitor Samsung tadi tetapi dengan saiz yang sedikit besar dan juga harga yang sedikit mahal berbanding Samsung. Kedua-dua monitor mempunyai nisbah aspek 16:9 dan memberi sudut pandangan luas sehingga 180°. Monitor ini juga tidak mempunyai speaker terbina di dalamnya.

Xiaomi Xiaoyi Yi Action Camera

Harga: RM 300



Xiaomi mula mencabar GoPro di dalam pasaran kamera action semasa memperkenalkan  Yi Action Cam dan pengguna seharusnya berterima kasih kepada Xiaomi kerana memberikan pilihan yang menarik kepada pengguna. Yi Action Camera menawarkan peranti pada harga yang murah berbanding kamera GoPro dan hasil gambar dan video yang dihasilkan oleh Yi Action Cam tidak lah teruk kalau dibandingkan dengan apa yang anda belanjakan.

SJCam 5000 Series

Harga: RM 350.00



 

SJCam merupakan satu lagi jenama kamera aksi cuba merebut pasaran dari GoPro. SJCam menawarkan lebih banyak variasi untuk kamera aksi mereka dengan harga yang berlainan untuk setiap versi. Kamera aksi ini merupakan alternatif lain selain daripada Yi Action Cam. Kualiti video dan gambar pula bergantung kepada berapa banyak yang anda mahu belanjakan untuk sebuah kamera aksi.

Xiaomi Mi Dash Cam

Harga: RM 200



Untuk abang-abang dan kakak-kakak e-hailing di luar sana, di sini ditampilkan kamera dash yang berharga murah tetapi dapat memberikan kualiti yang sangat baik. Dash Cam sekarang menjadi keperluan dan boleh menjadi bahan bukti yang sangat penting jika melibatkan tuntutan insurans kenderaan. Mi Dash Cam juga terbina di dalamnya pembesar suara dan mikrofon. Video yang dihasilkan oleh Mi Dash Cam boleh mencapai sehingga resolusi 1080p. Ruang storan menggunakan kad memori SD yang menyokong memori sehingga 64GB.

Xiaomi Redmi 5a

Harga: RM 368.00

 



Untuk pasaran telefon pintar yang berspesifikasi baik dengan harga yang rendah, Xiaomi dianggap juara sehingga digelar 'perosak pasaran' Redmi 5a menampilkan cip Qualcomm Snapdragon 425 dengan memori RAM sebanyak 2GB dan ROM sebanyak 16GB. Peranti ini mengguna pakai sistem operasi Android 7.1 Nougat yang sukar didapati untuk peranti pada harga seumpamanya.

Sekian sahaja pilihan wiser untuk anda belanja duit BR1M dengan penuh bergaya. #DonePancing