Fungsi Permesejan Facebook Mungkin Bakal Disatukan Semula Dengan Aplikasi Utama Selepas Ini

Sama seperti WhatsApp dan Telegram, Facebook(FB) Messenger menjadi medium permesejan yang sering digunapakai di seluruh dunia hari ini.

Namun, antara kekurangan yang ada pada FB Messenger ini ialah ia memerlukan pengguna untuk memasang aplikasi berasingan dengan aplikasi utama FB di peranti mudah alih mereka.

Ia akan menjadi masalah sekiranya peranti yang dimiliki oleh pengguna mempunyai ruang simpanan yang kecil. Akan tetapi, masalah itu dijangka selesai tidak lama lagi.

Ini kerana Facebook dikatakan sedang berusaha untuk membawa kembali fungsi permesejan ke dalam aplikasi utama pada platform mudah alih.

Bagaimanapun, menurut akaun Twitter @wongmjane, fungsi permesejan FB ini akan dinamakan semula kepada Chats dan bukannya Messenger.

https://twitter.com/wongmjane/status/1116557782193299456

Malah, menurutnya lagi, fungsi Chats ini mungkin agak terhad di peringkat awal, di mana ia hanya akan menyokong penghantaran mesej dengan menggunakan teks biasa sahaja.

Untuk pengguna yang mahu menghantar gambar, membuat panggilan dan sebagainya, mereka masih perlu membuka aplikasi Messenger.

Facebook sebelum ini menyatakan perancangan mereka untuk mengintegrasikan fungsi permesejan platform dibawah mereka termasuk Instagram, WhatsApp dan Facebook itu sendiri.

Perkembangan ini mungkin menjadi salah satu langkah awal ke arah penyempurnaan perancangan tersebut oleh Facebook.

 

Sumber: @wongmjane   The Verge