Foxconn Menghadapi Masalah Bekalan, Pengeluaran iPhone Mungkin Terjejas

Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, ekonomi global dilihat amat terkesan terhadap wabak tersebut.

Salah satu perkara yang sering dikaitkan dalam arena teknologi adalah kekurangan bekalan cip. Seperti yang diketahui, barangan elektronik masa kini sering bergantung kepada cip yang menjadi komponen terpenting.

Foxconn, baru-baru ini mengumumkan serta memberi amaran awal dimana mereka kini menerima impak terhadap gangguan bekalan tersebut.

Menurut CEO Foxconn, Young Liu, beliau menegaskan syarikat mereka tidak dapat menampung sejumlah tempahan dan dijangka akan berlarutan sehingga suku kedua tahun 2022.



Walau bagaimanapun, beliau turut menyatakan hanya 10% tempahan yang telah dibuat akan menerima kesan ini, buat masa sekarang.

Namun, Apple mungkin akan menerima tamparan hebat kerana Apple merupakan salah satu pelanggan terbesar Foxconn.

Dengan ini juga, pengeluaran iPhone dijangka akan menerima sedikit kelewatan dalam pengeluaran dan ia tidak pelik kerana semasa iPhone 12 juga telah menerima perkara yang sama tahun lalu.

Tambahan lagi, Foxconn tidak keseorangan kerana syarikat besar seperti Samsung, Ford, Toyota, Nissan, Volkswagen dan banyak lagi menghadapi masalah ini.

Kita juga dapat lihat, pengeluaran kad grafik dari Nvidia dan AMD atau konsol PS5 dan Xbox series X pun masih tidak dapat memenuhi permintaan pengguna.

Sumber: reuters