Fortnite Mungkin Kekal Eksklusif Bagi Peranti Samsung Selama 4 Bulan

Sebelum ini, kami telah melaporkan berkenaan permainan battle royale popular, Fortnite yang bakal menemui peranti Android dalam masa terdekat. Selain itu, Fortnite juga dikatakan akan diperkenalkan secara eksklusif bagi peranti Samsung Galaxy Note 9 selama sebulan selepas pelancarannya sebelum menemui peranti Android lain.

Walaubagaimanapun, menurut laporan terbaru yang kami perolehi, permainan itu akan kekal eksklusif bagi peranti Samsung untuk tempoh lebih lama. Satu sumber telah memaklumkan kepada Android Headlines telah melaporkan bahawa Samsung boleh menyambung hak eksklusif tersebut pada peranti Samsung yang lain pula selepas itu.

Kredit : Slashgear


Sumber turut memaklumkan Samsung mungkin diberi kebenaran oleh Epic Games untuk memanjangkan hak berkenaan kepada dua atau tiga bulan. Ini bermakna, pemilik peranti Android yang lain perlu menunggu sehingga empat bulan lebih lama untuk menikmati permainan itu.

CEO Epic Games, Tim Sweeney tidak mahu mengesahkan atau menafikan perkara ini. Namun, beliau telah mengesahkan permainan Fortnite tidak akan ditawarkan di pasaran digital, Google Playstore dan hanya boleh dimuat turun melalui laman sesawang rasmi mereka sahaja.

Menurut beliau, mereka melakukan sedemikian bagi memudahkan interaksi secara terus dengan pemain. Ia juga dilihat sebagai satu langkah penjimatan apabila mereka tidak perlu membayar Google untuk penyenaraian aplikasi Fortnite di pasaran popular berkenaan.

Sumber