'Footbraille' Bantu Insan Kelainan Upaya Menikmati Sukan Bola Sepak

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum disatukan dengan kepelbagaian dan persamaan dari segi bermacam perkara, lebih-lebih lagi tarikan yang luar biasa dapat dilihat datang daripada minat dan sokongan terhadap sukan bola sepak. Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) telah memperkenalkan prototaip 'Footbraille' yang dapat membantu komuniti cacat penglihatan untuk menikmati keterujaan perlawanan bola sepak itu sendiri. Prototaip ini dan manfaatnya telahpun diperkenalkan melalui video hari kebangsaan Digi sempena Hari Kemerdekaan ke-62.


Menurut Joachim Rajaram, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi, beliau menyatakan bahawa mereka sentiasa mencari inspirasi melalui penggunaan teknologi bagi membina hubungan yang lebih bermakna dan mereka percaya bahawa setiap warga Malaysia harus diberi peluang untuk memanfaatkan kuasa teknologi dan internet. Dengan penggunaan teknologi yang inovatif, Digi dapat menghubungkan komuniti insan kelainan upaya dengan sesuatu yang amat bermakna buat diri mereka, iaitu minat mereka terhadap sukan bola sepak melalui pengalaman imersif.




Merealisasikan 'Footbraille'  ini bukanlah suatu tugasan yang mudah, namun pihak Digi berasa amat bertuah untuk menjadi sebahagian daripadanya, terutamanya apabila mereka berpeluang untuk melihat sendiri kegembiraan yang terpancar di wajah ahli pasukan bola sepak cacat penglihatan yang buat pertama kalinya dapat merasakan perlawan bola sepak. "Usaha yang dicurahkan untuk memastikan tiada insan yang diabaikan atau ditinggalkan merupakan satu usaha yang amat berbaloi," tambah beliau.



Dibangunkan oleh Digi, 'Footbraille' ialah meja sesentuh yang dihubungkan tanpa wayar dengan sebuah peranti menerusi perisian khas, dan ia dapat menjejak pergerakan bola serta memberikan respons sentuhan yang membolehkan pengguna merasai perlawanan bola sepak sedang dimainkan.

https://www.youtube.com/watch?v=idu-OwhMPdQ

Pengalaman menarik ini ditambah lagi dengan suara ulasan perlawanan yang membolehkan pengguna benar-benar mendalami permainan tersebut. Dalam fasa yang seterusnya, kebolehan 'Footbraille' akan diuji untuk menyiarkan perlawanan bola sepak dalam masa nyata bagi perlawanan yang bersiaran langsung. Solusi ini boleh disesuaikan untuk pelbagai acara sukan dan kegunaan yang lain.

Untuk maklumat lanjut tentang 'Footbraille', tontoni video Hari Kebangsaan Digi di http://digi.my/footbraille.


 

Berkaitan