Piala Dunia 2022 Guna Teknologi Ofsaid Separa Automatik, 29 Titik Data Pada Badan Pemain

Selepas kejayaan menggunakan teknologi VAR dalam Piala Dunia 2018 di Rusia, kini FIFA menambah lagi integrasi teknologi ke dalam pertandingan ini.

Terbaru, FIFA mengesahkan mereka akan menggunakan teknologi ofsaid separa automatik dalam Piala Dunia 2022 di Qatar yang akan berlangsung November kelak.

Untuk mengetahui posisi yang tepat, 12 buah kamera akan diletakkan di bawah bumbung stadium untuk menjejak kedudukan bola dan sehingga 29 titik data pada setiap pemain, 50 kali setiap saat.



Kesemua 29 titik data ini meliputi kaki dan bahagian tubuh pemain yang wajar untuk pastikan keputusan ofsaid tepat.

Bukan itu saja, bola Adidas yang dinamakan Al Rihla mempunyai sensor IMU (inertial measurement unit) di dalamnya yang akan menghantar data sebanyak 500 kali per saat.



Kata Johannes Holzmüller, Pengarah Inovasi dan Teknologi FIFA, teknologi baharu ini akan menyediakan penonton di stadium dan TV dengan visualisasi yang pantas dan tepat tentang situasi ofsaid tersebut berdasarkan data yang diterima.

Sumber: FIFA