FeiyuTech Hadir Dengan 2 Model Gimbal Terbaru Di CES 2020

Gimbal terbaru dari FeiyuTech yang dapat menyokong pelbagai peranti untuk pelbagai aktiviti.


Pengeluar gimbal kamera dari China, FeiyuTech telah turut hadir bersama memeriahkan lagi pameran elektronik CES 2020. Untuk CES tahun ini, mereka hadir dengan 2 model gimbal terbaru iaitu AK2000S dan G6 Max.

AK2000S




Gimbal model AK2000S dari FeiyuTech ini direka khusus untuk kamera mirrorless dan DSLR.

AK2000S diperbuat daripada aloi aluminium ringan menjadikan ia hanya seberat 1.2kg sahaja. Tetapi ia mampu menampung berat kamera maksimum 2.2kg.

Ia juga dilengkapi dengan skrin sentuh LCD bagi memudahkan pengguna melakukan tetapan mod penggambaran yang berbeza.



Malah pemegangnya pula dipadankan dengan kayu rosewood yang dapat memberikan keselesan ketika mengoperasikannya dalam suasana sejuk.

Selain itu, ia turut menyokong pelbagi aksesori lain termasuklah aksesori rakaman audio tanpa wayar, alat kawalan dan lain-lain.

Gimbal Feiyu AK2000S ini sudah pun boleh dibeli menerusi laman rasmi FeiyuTech yang berharga dari RM1,428.38 (Standard Kit).

G6 Max


Bagi model G6 Max pula, ia adalah versi yang dinaik taraf dari model gimbal G6 Plus.

Gimbal G6 Max menyokong hampir pada semua jenis peranti kamera termasuklah kamera mirrorless, telefon pintar, kamera aksi dan kamera poket.



Antara ciri utama gimbal G6 Max adalah dilengkapi skrin OLED berkuasa rendah yang memberikan info parameter gimbal dan kamera, butang pelbagai fungsi 'Magic Focus Ring' yang ditambah baik, menyokong ciri kawalan zoom dan fokus serta kalis air.



G6 Max juga kini dilengkapi dengan 9 fungsi mod berbeza seperti mod swafoto dan mod potret.

Gimbal Feiyu G6 Max sudah pun boleh dibeli menerusi laman rasmi FeiyuTech yang berharga RM1,141.88.