FBI Mendakwa Penggodam Iran Kerana Membocorkan Siri Game of Throne

Pihak FBI Amerika Syarikat telah mendakwa penggodam dari Iran, Behzad Mesri kerana menggodam HBO serta membocorkan siri episod yang belum ditayangkan termasuk Game of Throne. Penggodam yang menggunakan kata nama 'Skote Vashat' atau 'Mr. Smith' telah mencuri data sebesar 1.5TB dari HBO dan meminta wang ugutan sebanyak $6 juta Bitcoin.



Penggodam tersebut bukanlah sebarangan kerana dia dikaitkan dengan kementerian pertahanan Iran. Mengikut Jabatan Keadilan US (DoJ), Mesri bekerja bagi pihak tentera Iran untuk melakukan serangan terhadap ketenteraan dan sistem nuklear negara lain.

Penggodam itu juga mensasarkan infrastruktur Israel bagi pihak Iran. Dia juga pernah menjadi ahli untuk kumpulan penggodam Iran bernama Turk Black Hat dan telah merosakkan beratus laman sesawang di seluruh dunia.



Walau bagaimanapun, FBI tidak mempunyai kuasa bagi menahan Mesri di Iran kerana Amerika Syarikat tidak mempunyai perjanjian ekstradisi bersama Iran. Ini bermakna selagi Mesri berada di Iran, pihak berkuasa Amerika Syarikat tidak dapat berbuat apa-apa terhadapnya.

Kenyataan dari pihak berkuasa Amerika Syarikat itu menandakan yang Amerika Syarikat bersedia untuk membanteras penjenayah siber di seluruh dunia. Realiti untuk Mesri sekarang ialah untuk tidak ke luar negara sewenang-wenangnya kerana dia boleh ditahan bila-bila masa oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Sumber