Facebook Untuk iOS Dilapor Membuka Kamera Tanpa Izin Pengguna

Saat sedang leka menelaah perkongsian rakan-rakan di Facebook, tanpa disedari aplikasi media sosial berkenaan mengaktifkan fungsi kamera telefon pintar dan ia pastinya mendatangkan kegusaran kepada pengguna.

Isu itu kini difahamkan sedang berlaku melibatkan pengguna iPhone dimana aplikasi kamera diaktifkan semasa pengguna menatal perkongsian.

Perkara ini mula mendapat perhatian ramai setelah salah seorang pengguna memuat naik video ke laman Twitter tempoh hari. Pengguna tersebut, Joshua Maddux menyatakan kamera iPhone milik beliau diaktifkan saat membuka serta menatal foto didalam aplikasi.

Difahamkan lagi, beliau turut mengesan lima buah iPhone lain turut mengalami isu tersebut dan kesemuanya menjalankan sistem operasi 13.2.2. Ia turut diuji pada peranti iOS 12 dan ia tidak mempunyai masalah tersebut.



 



Isu berkenaan telah diajukan kepada pihak Facebook dan jurucakap syarikat mengesahkan ia berpunca dari pepijat yang terkandung dalam kemaskini terbaru mereka. Lanjutan daripada itu, kemaskini baikpulih akan diberikan kepada pengguna.

Sumber: The Next Web