Facebook Sedang Menguji Ciri Stories

Dimulakan dengan Snapchat, diikuti dengan Instagram dan yang terkini Facebook pula sedang giat menguji ciri Stories untuk aplikasi mereka. Ciri Stories yang dibangunkan oleh Facebook kelihatan serupa dengan apa yang anda gunakan pada aplikasi Instagram.

Pada bahagian atas ruangan News Feed, akan kelihatan foto profil berbentuk bulat yang menunjukkan Stories yang dirakam rakan Facebook anda. Sama seperti di Instagram dan Snapchat, Stories tersebut akan hilang selepas 24 jam dipaparkan.

Berdasarkan laporan dari Business Insider, foto dan video yang dirakam menggunakan ciri Stories tidak akan terpapar pada News Feed mahupun di wall anda. Selain itu, jika anda mahu meninggalkan komen terhadap foto atau video tersebut, anda perlu menghantar Private Message ke rakan Facebook tersebut. Cara yang sama jika anda menggunakan Instagram Stories.

Secara kasarnya ia kelihatan sangat serupa dengan apa yang ditawarkan oleh Instagram, dan mungkin Facebook mempunyai idea lain yang bakal membezakan antara kedua-dua aplikasi tersebut. Pihat Facebook turut menyatakan bahawa, cara orang ramai berkongsi kehidupan sudah tidak sama seperti 4-5 tahun lepas. Pengguna lebih meminati visual seperti foto dan video dan oleh kerana itu, Facebook giat membangunkan ciri ini.

Ciri Stories memberi impak besar dalam medial sosial dimana hampir 150 juta orang menggunakan ciri itu di Instagram walaupun baru 5 bulan diperkenalkan. Facebook Stories kini sedang menjalani fasa ujian yang bertempat di Ireland dan mungkin mengambil sedikit masa sebelum mula dikeluarkan kepada umum.

[embed]https://www.youtube.com/watch?v=xs8oVzS2Xtg[/embed]

Sumber: Business Insider, The Next Web