Facebook Saman Pembangun Aplikasi Asia Kerana Memasang Perisian Hasad Pada Aplikasi Android

2 Pembangun itu adalah dari firma Singapura dan Hong Kong. 


Facebook dilaporkan telah menyaman 2 pembangun aplikasi dari Asia kerana memuatkan perisian hasad pada aplikasi yang dibangunkan mereka.

Perisian hasad di dalam aplikasi itu didapati secara automatik akan melaksanakan program klik pada iklan bagi menjana pendapatan mudah terhadap iklan-iklan yang dipaparkan di dalam aplikasi mereka.

Teknik yang dikenali sebagai "click inejection fraud" itu didapati telah mewujudkan lebih daripada 40 juta tarikan iklan. Daripada jumlah itu, sebanyak 1.7 juta klik automatik pada iklan telah dihasilkan menerusi rangkaian dari Facebook hanya dalam tempoh 3 bulan sahaja pada lewat tahun lepas.

Firma pembangun yang disebut dalam fail saman itu adalah JediMobi Tech Ltd of Singapore dan LionMobi Holding Ltd of Hong Kong.

Pihak Facebook mula menyedari aktiviti perisian hasad yang dipasang pada aplikasi yang dibangunkan oleh 2 firma tersebut pada Disember tahun lalu. Susulan itu mereka telah bertindak dengan menyekat pembangun tersebut dari rangkaian Facebook dan telah membayar semula pada pihak pengiklan yang sudah membayar bagi setiap klik yang terhasil dari aplikasi pembangun tersebut.

Facebook melalui saman yang dikeluarkan mereka itu telah meminta ganti rugi dan balasan setimpal terhadap 2 firma tersebut.

Sumber: The Edge Markets