Facebook Mahu Bangunkan Cip Pemprosesan Mereka Sendiri

Facebook kini dalam proses untuk membentuk satu pasukan bagi membangunkan cip pemprosesan mereka sendiri, mengikut laporan Bloomberg. Perkara ini dijangka akan mengejutkan pelbagai pihak memandangkan mereka bukanlah berada dalam industri pembuatan peranti elektronik secara langsung sebelum ini. Seperti kita ketahui, syarikat seperti Intel Corp., Qualcomm, atau Huawei yang mempunyai cip pemprosesan sendiri semuanya terlibat secara langsung dalam industri ini.

Facebook dijangka akan menggunapakai cip tersebut bagi menyokong perkakasan atau peranti mereka, perisian AI serta menambahbaik servis pelayan pada pusat data mereka. Pada bulan hadapan, mereka diberitakan akan melancarkan Oculus Go, sebuah peranti realiti maya (VR) yang menggunakan cip pemprosesan Qualcomm. Mungkin pada masa hadapan, peranti seperti ini akan menggunakan cip keluaran Facebook sendiri pula.



Perkara ini tersebar apabila Facebook didapati telah membuat satu iklan pekerjaan yang menunjukkan mereka sedang mencari calon pekerja yang berkemahiran atau pernah terlibat dalam industri pembangunan semikonduktor ini. Walaubagaimanapun, Facebook menolak untuk memberi sebarang komen mengenai perkara ini.

Sekiranya dakwaan ini betul, ia dijangka akan dapat membantu Facebook dalam mengurangkan kos serta kualiti servis mereka. Ini juga menjadi sebab mengapa syarikat seperti Apple dan Huawei telah menghasilkan cip pemprosesan keluaran mereka sendiri.

Sumber