Facebook Lancar Aplikasi Study, Pengguna Akan Dibayar Untuk Data Yang Diambil

Facebook akan membayar penggunanya yang berkongsi data bagaimana mereka menggunakan aplikasi-aplikasi yang terdapat di dalam telefon pintar menerusi Study.


Beberapa hari lalu, Facebook telah melancarkan sebuah aplikasi terbaru dipanggil sebagai Study. Ia bukanlah aplikasi media sosial, sebaliknya ia adalah aplikasi khusus digunakan untuk kajian pemasaran yang sedang dijalankan oleh pihak Facebook.

Menerusi Study, Facebook akan memperoleh data berguna daripada penggunanya bagi menambah baik produk-produk Facebook yang lain termasuklah WhatsApp, Oculus, Facebook, Instagram dan Messenger.

Ringkasnya, aplikasi Study adalah program bagi menambah baik komuniti Facebook.

Kapsyen: Kredit imej: Facebook

Cara menyertai Study


Ia tidak ditawarkan kepada semua tetapi hanya kepada pengguna yang terpilih sahaja iaitu mereka yang dijemput atau menerima jemputan rasmi dari pihak Facebook. Setelah itu, pengguna terbabit itu boleh menyertai Facebook Study Program dan memasang aplikasi Study pada telefon pintar mereka.

Mereka yang terlibat dengan program ini perlulah bersetuju mengkongsikan data-data penggunaan aplikasi yang terdapat di dalam telefon pintar mereka bersama Facebook. Atau bahasa mudahnya, anda membenarkan Facebook menjejaki aktiviti anda ketika anda menggunakan  aplikasi-aplikasi yang ada di dalam telefon pintar tersebut..

Manfaatnya, pengguna aplikasi Study akan menerima bayaran daripada pihak Facebook atas data-data yang dikongsikan mereka itu.

Walaubagaimanapun, Facebook tidak pula menjelaskan kriteria atau syarat-syarat yang diperlukan bagi membolehkan mereka layak untuk menyertai program ini. Tetapi penulis mengandaikan, jika anda memiliki beribu, beratus ribu atau berjuta pengikut (senang cerita anda adalah seorang yang popular), anda mungkin akan menerima jemputan dari Facebook untuk menyertai Study.

Mungkinlah....

Sumber: Facebook Newsroom