Facebook Gaming Dilancarkan Untuk Android, Aplikasi Khusus Penstriman Permainan

Facebook kini secara rasmi telah melancarkan aplikasi Facebook Gaming, iaitu platform penstriman permainan yang merupakan pesaing kepada Twitch. Pada masa ini, aplikasi Facebook Gaming tersedia bagi peranti Android dan akan dilancarkan tidak lama lagi bagi peranti iOS.

Walaupun agak sukar untuk bersaing dengan Youtube, Twitch dan sebagainya, tetapi Facebook bakal menawarkan ciri yang lebih baik pada aplikasi ini termasuk fokus tertentu pada permainan mudah alih.



Menurut Facebook, aplikasi ini membolehkan pengguna mencipta atau menonton penstriman permainan secara global. Berbanding yang ditawarkan pada versi desktop, fungsi "Go Live" yang terdapat pada aplikasi mudah alih ini akan membenarkan pengguna Android melakukan penstriman permainan kegemaran secara terus dari peranti pengguna.

Mengikut perancangan asal, aplikasi Facebook Gaming akan dilancarkan pada Jun ini. Namun, dengan pertumbuhan berterusan Facebook Gaming, serta peningkatan jumlah penonton dan penstriman secara keseluruhan sepanjang penularan pandemik Covid-19, Facebook mengambil langkah untuk melancarkan aplikasi ini dengan lebih awal.

Mula dilancarkan pada 20 April, aplikasi Facebook Gaming boleh dimuat turun melalui Google Play Store.

Sumber: The Verge