Facebook Didapati Mengumpul Rekod Panggilan Pengguna Dan Data SMS Dari Peranti Android

Beberapa pengguna Twitter telah melaporkan data dalam bentuk rekod panggilan dan SMS telah disimpan oleh Facebook di dalam fail yang boleh dimuat turun oleh pengguna dari Facebook mereka.

Pengguna yang menemui data-data ini berasa sangsi dengan aktiviti Facebook terutama selepas Facebook terpalit dengan skandal Cambridge Analytica. Mereka kemudian memuat turun data yang disimpan oleh Facebook di dalam akaun pengguna dan hasilnya mengejutkan sesetengah pihak.

Ars Technica telah melaporkan Facebook telah meminta akses untuk simpanan kenalan (contacts), data SMS dan rekod panggilan bagi menambah baik algoritma cadangan kawan (friend recommendation) bagi membezakan antara kenalan perniagaan dan kenalan peribadi.

Facebook dikatakan menyimpan semua data ini di dalam aplikasi Messenger dan mereka memberi respon dengan berkata adalah normal untuk perkara seperti ini berlaku apabila melibatkan aplikasi sosial dan mesej.



Perkara sama tidak pula berlaku untuk peranti Apple yang kebenaran untuk mengakses data-data panggilan dan SMS dikawal ketat oleh protokol di dalam sistem operasi iOS.

Facebook telah cuba melakukan beberapa perubahan megenai privasi data pengguna mereka sebelum berlakunya kontroversi Cambridge Analytica melanda mereka tetapi beberapa perjelasan perlu dilakukan oleh Facebook bagi menjelaskan polisi berkenaan penggunaan data pengguna platform sosial media mereka.