Facebook Dedahkan Huawei Mempunyai Akses Kepada Data Pengguna Mereka

Facebook nampaknya masih lagi dibelenggu dengan skandal penggunaan data pengguna secara tidak sah. Terkini, mereka sekali didakwa telah berkongsi maklumat pengguna dengan pihak ketiga tanpa kebenaran, lapor CNN. Dan antara pihak yang dikatakan terlibat ialah syarikat teknologi China, Huawei serta beberapa syarikat China yang lain seperti Lenovo dan Oppo.

Dan pihak Facebook sendiri telah mengesahkan perkara berkenaan. Mereka memberitahu bahawa perjanjian perkongsian data dengan syarikat-syarikat berikut telah dimeterai sejak sekian lama. Mereka juga menegaskan bahawa perkongsian berkenaan adalah atas tujuan perniagaan semata-mata.



Perkara ini menjadikan situasi semakin buruk buat syarikat Huawei. Ini kerana mereka sebelum ini telah didakwa oleh kerajaan Amerika Syarikat, dengan tuduhan menggunakan peranti keluaran mereka untuk tujuan pengumpulan maklumat berasaskan risikan.

Kerajaan Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan perdagangan di antara syarikat yang beroperasi di dalam negara mereka dengan syarikat Huawei dan sebuah lagi syarikat China iaitu ZTE. Walaupun sekatan yang dikenakan terhadap Huawei tidak sehebat ZTE, ia turut menggugat perniagaan mereka di sana.



Sebelum ini, Pentagon telah mengeluarkan arahan supaya semua jualan peranti Huawei di kem tentera mereka dihentikan. Namun setakat ini, tiada sekatan untuk anggota tentera mereka menggunakan peranti keluaran Huawei dikenakan.

Bagaimanapun, pendedahan terbaru ini tidak mustahil akan membawa nasib yang lebih buruk kepada perniagaan Huawei di Amerika Syarikat. Huawei sebelum ini sudah beberapa kali menafikan dakwaan mereka menggunakan peranti keluaran mereka untuk tujuan risikan bagi kerajaan China.

Sumber