Facebook Dating Kini Sedang Dalam Proses Percubaan

Facebook telah mengumumkan beberapa fungsi baru semasa acara persidangan pembangun-pembangun mereka, F8 kira-kira dua bulan yang lepas. Antara pembaharuan yang ingin di bawa ialah aplikasi temu janjinya, Dating.

Selepas agak lama mendiamkan diri, akhirnya Facebook mengesahkan bahawa mereka sedang dalam proses menguji aplikasi tersebut sebelum diperkenalkan kepada pengguna.



Mark Zuckerberg dalam ucapannya di F8 berkata, aplikasi ini dibangunkan bagi membantu golongan lelaki dan wanita dewasa menemui jodoh mereka melalui Facebook. Aplikasi ini dikatakan mampu memberi saingan kepada pencabarnya seperti Tinder dan OKCupid.

Seorang pengguna Twitter, Jane Manchun Wong memberitahu dalam satu kiriman di akaun beliau bahawa versi percubaan penuh bagi aplikasi ini hanya tersedia bagi staf Facebook sahaja setakat ini. Ia kerana aplikasi ini masih lagi di peringkat pra-pelancaran.

https://twitter.com/wongmjane/status/1025475130569371648

Kredit : @wongmjane


Menurut beliau lagi, pengguna aplikasi ini boleh memadam akaun Dating mereka pada bila-bila masa. Sebagai contoh, apabila mereka sudah menemui buah hati idaman mereka.

Untuk makluman anda, pengguna Facebook juga boleh mendaftar akaun Dating secara berasingan dengan akaun Facebook milik mereka. Namun, harus diingatkan, aplikasi ini dicipta khas untuk mereka yang keseorangan atau single sahaja.

Pihak Facebook dan kami di Wiser tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang keretakkan dalam hubungan sedia ada anda selepas menggunakan aplikasi ini nanti.

 

Sumber