Facebook Bakal Perketat Peraturan Menggunakan Facebook Live

Kejadian tembakan di dua buah masjid di New Zealand bulan lalu, sememangnya memberikan kesan yang mendalam kepada dunia terutama sekali ahli keluarga mangsa yang terkorban. Menyedihkan lagi, ia dipaparkan melalui Facebook Live dan video tersebut dikongsikan secara meluas termasuk pengguna di Malaysia.

Lanjutan daripada itu, Ketua Eksekutif Operasi Facebook, Sheryl Sandberg, menyatakan platform media  terbabit akan memperketat peraturan untuk menggunakan Facebook Live dan mengambil langkah selanjutnya untuk menangani isu berbentuk kebencian dalam Facebook.

Menurut Sheryl dalam blog Instagram, Facebook sedang mencari kaedah bagi menyekat mana-mana pengguna yang melanggar Standard Komuniti dari menggunakan ciri Live.

Kajian turut dijalankan bagi membangunkan teknologi yang mampu mengenalpasti dengan pantas, video atau imej keganasan yang diubah suai atau disunting supaya ia tidak disebarkan kepada yang lain.

Standard Komuniti Facebook sedia menggariskan polisi mengenai ucapan berbaur kebencian, namun langkah yang lebih mendalam bakal disusuli untuk menghindari masalah tersebut.

Mereka menetapkan kedua-dua kejadian tembakan sebagai serangan pengganas, bermakna sebarang pujian dan sokongan terhadap peristiwa itu melanggar Standard Komuniti dan tidak dibenarkan sama sekali di Facebook.

Facebook juga menggunakan kecerdasan buatan untuk mengenal pasti serta membuang ucapan dan grup yang mempromosikan kebencian.

Ini merupakan langkah yang sewajarnya diambil oleh Facebook bagi membendung ia dari berleluasa tanpa pengawasan, lebih-lebih lagi ia digunakan pelbagai peringkat umur.

Sumber: Instagram Blog