FAA Dan EASA Melarang Model Tertentu Macbook Pro Dibawa Masuk Ke Dalam Pesawat

Berikutan isu bateri Macbook Pro yang cepat panas sehingga boleh menyebabkan kebakaran.


Pengurusan Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) telah mengeluarakan amaran bagi melarang beberapa model komputer riba MacBook Pro Apple daripada dibawa masuk ke dalam mana-mana penerbangan.

Tindakan tersebut diambil selepas syarikat pengeluar komputer riba  itu telah memanggil semula unit tertentu model Macbook Pro kerana memiliki bateri yang mampu mendatangkan risiko kebakaran.






Menurut jurucakap FAA, semua syarikat penerbangan sudah dimaklumkan berhubung bahaya yang boleh didatangkan model tersebut.

Apple Inc pada Jun lalu memberitahu akan menarik semula sejumlah komputer riba 15 inci MacBook Pro kerana bateri yang mudah mencapai suhu panas melampau.

Kesemua unit berkenaan memasuki pasaran antara September 2015 dan Februari 2017.

Tindakan FAA ini diambil tidak lama selepas pihak Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) mengisukan amaran terhadap model MBP tersebut kepada syarikat-syarikat penerbangan Eropah pada awal bulan ini.

Walaubagaimanapun, sekiranya bateri Macbook Pro tersebut telah digantikan dengan bateri yang baru oleh pihak Apple (bukan pihak ketiga), penumpang akan dibenarkan membawa bersama MBP tersebut ke dalam penerbangan mereka.

Sumber: Bloomberg