Eve Spectrum - Paparan Gaming Pertama Di Dunia Dengan HDMI 2.1, Resolusi Sehingga 4K 144Hz

Piwaian HDMI 2.1 telah dilancarkan ketika acara CES2017. Hanya pada tahun 2019, baru kita dapat melihat kemunculan paparan dengan piawaian ini dalam bentuk TV. Namun begitu, untuk paparan khusus gaming, masih belum wujud lagi sehinggalah kehadiran Eve Spectrum yang kini baru sahaja dilancarkan.



Untuk makluman, model Spectrum dari syarikat Eve ini merupakan produk yang 'direka' oleh komuniti. Ini bermaksud rekaan dan fungsinya diundi dan dipilih oleh komuniti mereka sendiri.

Eve Spectrum sebelum ini telah pun hadir dengan beberapa model paparan namun model yang terkini ini lebih canggih dengan kehadiran piawaian HDMI 2.1.



Bermula dengan spesifikasi terdahulu, ia hadir dalam 2 jenis iaitu Quad HD 240Hz dan juga 4K 144Hz. Panel paparannya adalah IPS LCD dari buatan LG, berukuran 27 inci, dan mempunyai nisbah 16:9.

Untuk spesifikasi warna, ia menyokong 10 bit warna, 100% sRGB, 98% DCI-P3, HDR10, dan diiktiraf DisplayHDR600. Dari segi gaming pula paparan ini adalah selaju 1ms dalam pada masa yang sama turut menyokong Nvidia G-Sync dan AMD FreeSync Premium Pro.



Dengan HDMI 2.1, ia menyokong kapasiti jalur lebar yang lebih tinggi 48Gbps berbanding HDMI 2.0 yang hanya 18Gbps. Jalur lebar setinggi ini adalah diperlukan untuk meninggikan lagi resolusi dan juga kadar segar semula.

Buat masa ini, HDMI 2.0 hanya menyokong sehingga 4K 60fps atau 8K 30fps, namun dengan HDMI 2.1, kualiti paparan lebih dipertingkatkan sehingga 4K 120fps, 8K 60fps malah mampu mencapai 10K jika industri sudah bersedia ke arah teknologi tersebut.

 

Jika anda membeli paparan dengan piawaian HDMI 2.1 akan tetapi hanya ada kabel HDMI 2.0, jangan risau kerana paparan tersebut masih lagi boleh digunakan kerana ia serasi walau segenerasi ke belakang.

Dengan kehadiran konsol terbaharu Xbox Series X dan PS5, sudah tentu paparan sebegini akan dicari jika pemain mahu menikmati kandungan permainan yang lebih puas.



Paparan gaming Eve Spectrum ini belum lagi mula dijual, namun sudah boleh di pra-tempah melalui laman rasmi mereka. Untuk panel QHD 240Hz ia dijual pada harga $529 (~RM2,302) manakala panel 4K 144Hz pula berharga $629 (~RM2,737).

Berkaitan