ESports City Pertama Di Malaysia Akan Jadi Destinasi e-Sukan Antarabangsa

Semalam, kumpulan e-sukan terbesar - Esports Business Network (EBN) telah melancarkan Bandar e-sukan (Esports City) pertama di Malaysia sebagai destinasi acara e-sukan antarabangsa.

EBN merupakan hasil gabungan dua syarikat e-sukan di Malaysia - Orange Esports Cafe dan The Gaming Company (TGC) yang ingin memacu kemajuan e-sukan ke tahap lebih tinggi.



Kumpulan syarikat EBN juga merangkumi Prime Live, sebuah agensi pengurusan bakat e-sukan, Orange Esports, sebuah organisasi terkemuka pasukan e-sukan, dan Borneo Gaming Company (BGC), agensi pemasaran e-sukan pertama Borneo.

Misi mereka adalah untuk terus membuka ruang kepada pelbagai jenama untuk memasuki dunia e-sukan dan gaming serta mengembangkan ekosistem yang kukuh dan bertahan lama untuk industri ini.



Bandar e-sukan ini bernilai RM4 juta yang menawarkan perkhidmatan penuh dan terletak di tingkat teratas Quill City Mall, Kuala Lumpur. Ia turut diiktiraf sebagai kemudahan e-sukan terbesar di Asia Tenggara.

Dengan keluasan 65,000 kaki persegi, ia sememangnya tempat ideal untuk e-sukan yang dilengkapi teknologi serta sistem sokongan tercanggih untuk menganjurkan acara e-sukan bertaraf dunia.



EBN Esports Arena pula adalah dewan acara yang terbentang luas tanpa tiang, berkeluasan 10,650 kaki persegi dengan kemudah produksi dan penyiaran komprehensif untuk menampung sehingga 1000 penonton dan sesuai untuk syarikat komersil yang mencari lokasi berkelengkapan penuh untuk acara e-sukan.



Secara keseluruhan, EBN Esports City memberikan kemudahan perniagaan dan komuniti yang holistik bertujuan untuk wujudkan ekosistem e-sukan yang kuat.

Selain itu, TGC secara rasminya bekerjasama dengan pembangun permainan Riot Games Asia Tenggara dimana lesen eksklusif khusus untuk menganjurkan kejohanan Valorant pada 2021.

Tambahan lagi, melalui pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2021 terhadap pembangunan e-sukan, EBN akan terus komited dan mengusahakan inisiatif dalam memajukan e-sukan di Malaysia.