EMUI 10 Bakal Diperkenalkan Pada 9 Ogos Ini

Persidangan Pembangun Huawei merupakan acara yang diadakan setiap tahun dan untuk 2019, ia telah dijadualkan pada 9 Ogos hadapan.

Forum selama dua hari tersebut dijangka menghimpunkan lebih kurang 5000 pembangun dari serata dunia dan pada acara yang sama juga, pelbagai pembaharuan perisian terkini akan dipertontonkan syarikat pengeluar dari China itu.

Turut sama akan diperkenalkan adalah sistem antaramuka terbaru, EMUI 10 dengan Presiden Perisian Perniagaan Pengguna Huawei. Wang Chenglu bakal mengetuai sesi pengenalan tersebut.

Buat masa sekarang, apa yang pasti adalah EMUI 10 dibangunkan dengan asas Android Q sementara khabar angin menyatakan ia akan menampilkan perubahan pada ikon, pembaharuan pada elemen antaramuka dan penggunaan font yang baru.

Selain daripada itu, tambah baik juga diberikan untuk memastikan kelajuan serta kelancaran sistem beroperasi disamping aplikasi kamera akan direka semula untuk fungsi yang lebih baik.

Huawei dijangka akan mengupas sedikit sebanyak tentang sistem operasi Hong Meng semasa acara itu, tetapi kita harus menunggu tarikh tersebut untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

Sumber: GSMArena