Elakkan Kesabaran Anda Diuji Pada Bulan Ramadan Dengan Aplikasi Waze

Bulan Ramadan merupakan bulan suci dalam kalendar Islam di mana seluruh umat Islam wajib berpuasa selain berusaha untuk meningkatkan amalan baik sepanjang bulan ini. Selain daripada menahan diri daripada makan dan minum, beberapa perkara lain turut perlu diambil perhatian oleh umat Islam agar puasa yang dilakukan akan diberi ganjaran pahala yang sewajarnya.

Antara perkara yang sering diuji pada bulan mulia ini ialah tahap kesabaran seseorang. Dan sekiranya kita seorang pemandu, kesabaran kita sering tercabar saat kita terperangkap di tengah kesesakan jalan raya. Namun kini anda tidak perlu risau lagi, Waze akan membantu anda mengatasinya.

Pihak Waze telah pun menyediakan empat tips yang sangat berguna untuk anda yang memandu sepanjang bulan Ramadan ini.

1.Elakkan PM Rush (Perjalanan Pada Waktu Petang)



Jika diperhatikan pada imej data yang disediakan oleh Waze di atas, dapat diperhatikan jumlah kenderaan di atas jalan raya meningkat secara mendadak pada jam 4 hingga 7 petang pada bulan Ramadan berbanding dua bulan sebelumnya yang mengalami kepadatan tertinggi di antara jam 5 petang hingga 9 malam. Jadi jika anda pulang dari kerja pada waktu berkenaan, anda dinasihatkan untuk bersiap sedia dengan sedikit juadah untuk berbuka puasa di dalam kenderaan agar tidak terlewat untuk berbuka.

2. Rancang dahulu perjalanan anda pada hari Jumaat sepanjang bulan ini



Statistik pemanduan harian juga mengalami perubahan pada bulan Ramadan. Dapat dilihat melalui infografik di atas bahawa pemanduan pada hari Jumaat adalah yang tertinggi, sementara bagi dua bulan sebelumnya pula, jumlah pemanduan tertinggi ialah pada hari Sabtu. Ini berkait rapat dengan ibadah solat Jumaat serta hari Jumaat yang sering menjadi pilihan untuk berbuka puasa bersama keluarga atau rakan-rakan diluar. Orang ramai lebih gemar berehat di rumah pada hujung minggu sepanjang bulan Ramadan ini.

3. Biar lambat, asal selamat



Waze telah mengenalpasti tiga lebuhraya paling merbahaya di sekitar Kuala Lumpur iaitu Lebuhraya NKVE, Lebuhraya Salak dan Jalan Kuching. Oleh itu, pengguna jalan raya berkenaan  dinasihatkan agar berhati-hati ketika memandu dan elakkan daripada memandu secara terburu-buru semata-mata untuk mengejar waktu berbuka puasa. Gunakan Waze untuk mengetahui keadaan lalu lintas semasa.

4. Beri laporan jalan raya melalui aplikasi Waze



Tips yang terakhir ialah pastikan anda sentiasa berkongsi maklumat berkenaan infotrafik di aplikasi Waze ini. Setiap laporan anda akan membantu memudahkan pengguna trafik yang lain. Caranya mudah sahaja. Klik pada ikon 'Report' dan pilih jenis laporan yang anda mahukan buat. Tekan 'Send' dan laporan anda selesai.