EA Sah Keluarkan FIFA 18 Untuk Nintendo Switch

Pengeluar permainan video popular, EA telah mengesahkan permainan FIFA yang bakal dimainkan pada konsol permainan Nintendo Switch adalah FIFA 18.

Perkara ini telah disahkan oleh pegawai pengurus operasi EA sendiri, Peter Moore, "kami sedang membangunkan permaian FIFA versi Nintendo Switch. Ia akan dikenali sebagai FIFA 18 dan sudah pasti ia dikeluarkan pada lewat tahun ini."

Pada sidang media Nintendo Switch sebelum ini, EA telah mengumumkan akan membawa permainan video FIFA ke dalam konsol Switch. Pengumuman itu mendapat maklum balas baik dari peminat dan terdapat khabar angin yang mengatakan FIFA edisi Nintendo dibangun berasaskan PlayStation 3 dan Xbox 360. Tetapi menurut Peter Moore, EA akan membina edisi yang diubah suai khas untuk platform Nintendo Switch.

Selain itu, CEO EA, Andrew Wilson turut menyatakan FIFA 18 akan dilengkapkan dengan mod permainan The Journey musim ke-2 yang menampilkan watak dan jalan cerita yang baru. Mod The Journey pertama kali dikenalkan pada FIFA 17 yang mengisahkan perjalanan hidup seorang pemain muda bernama Alex Hunter. Dalam mod permainan itu, beberapa babak di dalam dan luar padang yang turut membabitkan pemain serta pengurus bola sepak ternama dunia.

Sumber: Express.co.uk