E3 2018 - Apa Yang Kita Boleh Harapkan Daripada Sony, Microsoft Dan Nintendo

The Electronics Entertainment Expo atau lebih dikenali sebagai E3 merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh penggemar permainan video di seluruh dunia setiap tahun. Dan pada tahun ini, acara E3 ini akan berlangsung pada 12 Jun dan berakhir pada 14 Jun ini.

Acara ini akan menghimpunkan para pembangun dalam industri permainan video termasuk lah pengeluar-pengeluar konsol permainan. Bercakap berkenaan pengeluar konsol, tiga nama yang terlintas di fikiran pemain permainan video semestinya Sony, Microsoft dan Nintendo.

Peminat selalunya lebih mengharapkan pengumuman-pengumuman menarik daripada mereka berbanding pembangun permainan video. Ini kerana mereka turut akan mengeluarkan permainan eksklusif bagi konsol mereka sendiri. Jadi, apa yang peminat permainan video boleh harapkan daripada mereka pada kali ini?



Kita bermula dengan syarikat pengeluar Playstation iaitu Sony. Sony dilaporkan akan mendedahkan beberapa video teaser permainan eksklusif mereka seperti Death Stranding, Spiderman dan The Last of Us 2. Namun, sebelum ini terdapat juga laporan berkenaan kemungkinan Sony akan membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan peranti mudah alih terbaru mereka.



Bagaimanapun, mereka telah mengesahkan bahawa tiada pengumuman berkenaan PlayStation 5 pada E3 tahun ini. Mereka masih menaruh harapan kepada konsol Playstation 4 yang masih mendapat tempat di kalangan peminat sekurang-kurangya sehingga tahun 2020.



Pesaing utama Sony iaitu Microsoft juga tidak kurang hebatnya dalam acara E3 ini. Pada kali ini, Microsoft akan menjadi yang pertama di antara tiga nama besar ini untuk membincangkan perancangan mereka di E3. Pemain peranti XBox One dan PC mensasarkan untuk mendengar dengan lebih lanjut berkenaan permainan terbaru dalam siri Halo, Gears of War dan Forza.



Namun, agak mengecewakan bagi peminat permainan Crackdown apabila siri ketiga permainan berkenaan dijangka akan ditangguhkan sehingga Februari 2019. Dalam perkembangan lain, selepas melabur dalam teknologi VR, permainan berasaskan teknologi berkenaan turut dijangka menjadi fokus Microsoft pada kali ini.



Nintendo pula seperti diberikan nyawa semula selepas melancarkan peranti dwi-fungsi mereka iaitu Nintendo Switch. Peranti ini ternyata mengembalikan kepercayaan peminat kepada mereka. Nintendo sudah mengesahkan permainan Super Smash Bros dan Fortnite akan diperkenalkan bagi peranti Switch pada acara ini dan ia dijangka akan menjadi daya tarikan utama kepada peminat mereka.



Selain itu, siri permainan Legend of Zelda dan Pokemon turut menjadi agenda Nintendo pada E3 tahun ini. Pemerhati industri menjangkakan Nintendo akan menjadi antara tumpuan utama pada acara E3 2018.

Sama-sama kita nantikan tarikh 12 Jun ini untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan apa yang akan berlaku dalam industri permainan video sepanjang tahun ini.

Sumber