E-Dompet Touch 'N Go Jalin Kerjasama Dengan Easybook, Mudahkan Pembelian Tiket Bas

E-dompet Touch ‘n Go (TNG) terus mengembangkan segmen mobilitinya menerusi kerjasama dengan Easybook, sebuah platfom tempahan pengangkutan awam atas talian. Kerjasama ini membolehkan orang ramai membuat pembayaran secara mudah dan lebih lancar.

Ignatius Ong selaku Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd berkata, “Kami akan terus meluaskan perkhidmatan dalam segmen ini dan bukan hanya menyediakan platform transaksi pembayaran tol semata-mata. Matlamat kami ialah mewujudkan inklusiviti di dalam ekosistem pengangkutan dan kerjasama dengan Easybook ini adalah sejajar dengan matlamat berkenaan".

Easybook menawarkan perkhidmatan tempahan meliputi pelbagai jenis pengangkutan awam termasuk bas, kereta api, feri, kereta sewa serta penerbangan. Kini, para pengguna e-dompet ini boleh menggunakan fungsi ‘Pay’ untuk menyempurnakan transaksi tempahan di dalam negara.



“Kami berharap rakyat Malaysia akan menggunakan e-dompet Touch ‘n Go untuk melakukan pembayaran kerana ianya selamat, pantas dan
mudah", kata William Lee, Pengarah Urusan Easybook.

Selain itu, bersempena  dengan musim cuti sekolah tidak lama lagi, mereka menawarkan diskaun istimewa untuk destinasi-destinasi bas terpilih melalui kempen ‘States Takeover’. Para pengguna boleh menggunakan sistem e-dompet ini untuk membayar tempahan bas yang dibuat melalui laman web atau aplikasi Easybook dan menikmati diskaun RM4 bagi destinasi berikut:

● Perjalanan ke/dari Melaka, Pulau Pinang dan Johor dengan tempoh tempahan mulai 1 November hingga 15 Disember 2019.
● Perjalanan dalam/dari Sabah dan Sarawak dengan tempoh tempahan mulai 15 November hingga 31 Disember 2019.



Menerusi inisiatif #JOMTEKSI yang dilancarkan tahun lalu, pemandu teksi tradisional kini boleh menggunakan e-dompet Touch ‘n Go untuk transaksi pembayaran tanpa tunai.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai terma dan syarat promosi berkenaan, sila kunjungi tngdigital.com atau easybook.com.

Berkaitan