E-Dompet Mana Yang Menawarkan Perkhidmatan Terbaik?

E-dompet mempunyai fungsi yang sama seperti dompet fizikal anda tetapi semuanya berfungsi secara dalam talian dan secara digital. Selain itu, ia berfungsi untuk membantu anda membeli-belah, membayar bil, mengirim serta menerima wang dan semuanya dilakukan menerusi aplikasi.

E-dompet ini memerlukan anda untuk memasukkan atau menambah nilai wang ke dalam aplikasi tersebut yang kemudiannya membolehkan anda untuk guna membuat pembelian.

Pembayaran bukanlah satu-satunya perkara yang dapat dikendalikan oleh e-dompet anda. Setiap perkhidmatan menambah ciri-ciri menarik yang akan membawa manfaat kepada sasaran pelanggan mereka.

Namun, di Malaysia, terdapat lebih daripada satu aplikasi e-dompet yang mempunyai kegunaannya tersendiri.

E-Dompet yang popular di Malaysia



  • Boost


Dengan Boost, anda boleh melakukan aktiviti lebih daripada sekadar membayar makanan dan membeli-belah. Anda boleh menggunakannya untuk membayar tempat letak kereta anda, petrol, barangan runcit serta ketika anda membeli barang di pasar malam.

Lebih penting lagi, ia telah bekerjasama dengan syarikat utiliti seperti Telekom Malaysia dan SYABAS untuk semua pembayaran bil dalam aplikasi. Boost juga menjalinkan kerjasama dengan stesyen Shell yang membolehkan pengguna membayar petrol di lebih daripada 800 stesen di seluruh negara.

Maklumat lanjut boleh dilihat di myboost.com.my



  • GrabPay


GrabPay sangat mudah kerana anda boleh menggunakannya untuk membayar perkhidmatan yang ada hubungan dengan Grab seperti GrabFood misalnya, serta pembelian anda di pelbagai kedai makanan, panggung wayang, dan banyak lagi.

Satu perkara lagi yang menarik tentang GrabPay ialah dengan setiap transaksi, anda akan mendapat mata ganjaran yang anda boleh gunakan untuk menebus pelbagai benda termasuk baucer diskaun daripada katalog Ganjaran Grab.

Maklumat lanjut boleh dilihat di grab.com 



  • Touch 'n Go 


Aplikasi ini menyediakan satu perkhidmatan yang mudah untuk penggunanya, terutama jika mereka berulang menggunakan lebuh raya bertol setiap hari. E-dompet ini boleh digunakan untuk membayar tol menggunakan pembaca RFID. Di samping itu, anda juga akan mendapat rebat 20% bagi semua tol di Lembah Klang.

Anda juga boleh membeli tiket wayang dari TGV Cinema dengan hanya menggunakan wang yang ada di dalam akaun anda. Selain itu, boleh digunakan juga untuk membayar bil, tiket penerbangan, taman tema, tambah nilai dan mendapatkan semula Cash Back.

Maklumat lanjut boleh dilihat di tngdigital.com.my



  • BigPay


Dicipta oleh AirAsia, perkhidmatan BigPay membolehkan anda membuat pembelian di mana-mana lokasi seluruh dunia yang menyokong MasterCard. Selain itu, anda juga boleh membuat pengeluaran wang di mana-mana mesin ATM.

Kelebihannya anda boleh menebus ganjaran dan menikmati penjimatan ketika pembelian tiket penerbangan Air Asia. Apabila anda melancong, anda akan mendapat penjimatan dalam pertukaran wang asing dengan kadar yang terbaik.

Maklumat lanjut boleh dilihat di bigpayme.com



  • Setel 


Sebuah aplikasi e-dompet yang dicipta untuk digunakan pada stesen minyak Petronas.

Anda boleh pantau kos yang telah dibelanjakan untuk membeli petrol di samping menyemak mata ganjaran menerusi pautan aplikasi kepada kad Mesra. Lebih menarik apabila kini anda boleh menebus mata ganjaran tersebut tanpa menggunakan kad di kaunter.

Setel juga memaparkan stesen minyak yang berhampiran dengan anda dan turut menyediakan navigasi ke stesen tersebut melalui aplikasi Waze atau Google Maps. Memudahkan urusan anda di Petronas.

Maklumat lanjut boleh dilihat di setel.my



  • FavePay


FavePay mungkin antara e-dompet yang terawal di Malaysia kerana mereka telah wujud sejak tahun 2017. Anda boleh menggunakannya untuk pembelian di pelbagai kedai makanan, kedai pakaian, dan juga jenis perkhidmatan lain.

Rahsia penggunaan aplikasi ini adalah kesetiaan kerana sistem cash back mereka hanya sah untuk pengguna yang sering membuat pembayaran dengan aplikasinya. Sebagai contoh, jika anda sering makan di salah satu kedai yang bekerjasama dengan FavePay, cash back anda hanya akan sah untuk kunjungan seterusnya ke restoran yang sama.

Maklumat lanjut boleh dilihat di myfave.com

 

Berkaitan