DxO Lancar Peranti Kamera Boleh Tanggal Untuk Telefon Pintar Android

Nama DxO cukup sinonim dalam memberi penilaian terhadap sesebuah kamera. Ramai pengguna telefon pintar menjadikan ulasan dari syarikat itu sebagai penanda aras bagi memilih telefon pintar dengan kamera yang terbaik.

Dua tahun lalu mereka telah mengeluarkan kamera boleh tanggal DxO One untuk iOS yang mana ia berfungsi menghasilkan foto dengan sudut pandangan yang lebih luas serta kualiti yang dipertingkatkan.

Kapsyen: DxO One untuk iOS


Terkini, syarikat itu mengesahkan bahawa mereka sekali lagi hadir dengan peranti yang hampir sama tetapi khusus untuk pengguna Android. Kamera boleh tanggal ini dilengkapi dengan USB-C dan ini bermaksud mana-mana telefon pintar Android dengan port USB-C sesuai untuk menggunakannya.

Bagi model baru ini, DxO memberi jaminan kamera itu mampu memberikan prestasi imej yang berkualiti tinggi hasil dari rakaman lensa 20.2MP dengan sensor f/1.9. Ia juga berupaya menangkap gambar dalam format RAW disamping skrin sesentuh untuk kawalan yang lebih pantas dan mudah.

Berukuran 67.5 x 48.85 x 26.25 mm dengan berat 108g, DxO masih belum memberi maklumat lengkap tentang kamera boleh tanggal Android ini. Dijadualkan 2 November nanti peranti tersebut akan dipertontonkan kepada umum.

Sumber: The Verge