Ducati Multistrada V4, Motosikal Pertama Di Dunia Dengan Teknologi Radar Depan Dan Belakang

Nama yang tidak asing lagi dalam arena permotoran, Ducati, kini mengumumkan fasa penghasilan Ducati Multistrada V4. Memasuki generasi yang keempat ini, ia bakal dilengkapi dengan enjin baru yang lebih ringan dan kompak. Spesifikasi penuh tentang enjin akan didedahkan pada 15 Oktober hadapan.



Menariknya, pengeluar tersebut turut mengumumkan bahawa model ini merupakan motosikal pertama didunia yang hadir dengan teknologi radar depan dan belakang.



Melalui kerjasama dengan Bosch, teknologi radar ini ditempatkan pada motosikal untuk menambah ciri keselamatan dan tunggangan.

Setiap radar yang dipasang berukuran 70mm x 60mm x 28mm, mirip saiz kamera aksi moden. Radar pada bahagian hadapan akan ditugaskan untuk mengawal  Adaptive Cruise Control (ACC). Ia berfungsi memberi kawalan kepada brek dan pecutan untuk mengubah jarak dengan kenderaan lain secara automatik. Ciri ini berfungsi pada tahap kelajuan antara 30 hingga 160 km/j.



Radar disebelah belakang pula berkemampuan untuk mengesan dan memberi amaran ada kenderaan lain yang berada pada titik buta (blind spot). Sistem yang dipanggil Blind Spot Detection (BSD) itu juga akan memberi isyarat kepada penunggang kehadiran kenderaan lain dari belakang pada kelajuan yang tinggi.

Namun begitu, teknologi radar yang mirip dengan apa yang ditawarkan pada kereta ini bukanlah sistem tunggangan automatik. Ducati menjelaskan penunggang masih perlu sentiasa peka dimana teknologi radar ini hanyalah membantu untuk tunggangan yang lebih selamat. Multistrada V4 akan dipertontonkan secara rasmi pada 4 November depan.

Sumber: Ducati